Pelajar maut ditikam dengan pisau di sekolah

6 Oct 2026 • 9:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelajar maut ditikam dengan pisau di sekolah

ANKARA: Seorang pelajar maut dalam serangan pisau di sebuah sekolah menengah di daerah Basaksehir, Istanbul, hari ini.

Seorang remaja perempuan turut menikam tujuh pelajar lain sekolah itu, kata Kementerian Dalam Negeri.

Namun, seorang daripada pelajar itu yang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan kritikal kemudian meninggal dunia, kata Menteri Pendidikan Yusuf Tekin.

Kejadian berlaku pada pagi Selasa di sebuah sekolah menengah di kawasan Kayabasi. 

Pejabat Gabenor Istanbul pada awalnya memaklumkan lima pelajar cedera dalam satu pergaduhan kira-kira jam 8.40 pagi waktu tempatan.

Laporan tempatan berasingan menyifatkan kejadian itu sebagai serangan pisau yang membabitkan seorang bekas pelajar.

“Saya mendoakan agar pelajar kami yang cedera dalam pergaduhan di salah sebuah sekolah menengah di Basaksehir dan keluarga mereka segera pulih,” kata Memisoglu dalam hantaran di media sosial.

“Rawatan terhadap lapan mangsa yang cedera dalam kejadian itu, termasuk seorang dalam keadaan kritikal dan dua lagi dalam keadaan sederhana hingga serius, sedang diteruskan di hospital kami. Kami memantau rapat keadaan kesihatan mereka,” tambahnya.

Laporan tempatan menyebut seorang pelajar perempuan sekolah menengah yang sebelum ini menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Imam Hatip Kayasehir Seyh Samil memasuki sekolah lamanya dengan memakai uniform sebelum menyerang pelajar menggunakan pisau.

Laporan berkenaan pada awalnya menyebut enam pelajar cedera dan mendakwa bekas pelajar itu mempunyai masalah psikologi.

Menurut laporan itu, polis menahan pelajar perempuan berkenaan selepas kejadian.

Polis dan pasukan perubatan dikerahkan ke sekolah tersebut, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan awal sebelum dibawa ke hospital berdekatan.

Pejabat Gabenor Istanbul memaklumkan lima pelajar cedera dalam kejadian yang disifatkannya sebagai pergaduhan antara pelajar.

Pelajar yang cedera dibawa dengan ambulans ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan, manakala siasatan dilancarkan berhubung kejadian itu.

Susulan kejadian tersebut, ibu bapa bergegas ke sekolah berkenaan dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan anak masing-masing.

Polis memperketatkan kawalan keselamatan di sekitar sekolah sementara pihak berkuasa meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian. – AGENSI

 

 

 

 

 

 

 

The post Pelajar maut ditikam dengan pisau di sekolah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved