Pelajar maut dibunuh: JPPKK serah siasatan kepada polis

7 Oct 2026 • 8:29 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar maut dibunuh: JPPKK serah siasatan kepada polis
Elisa Jonova ditemukan maut disyaki dibunuh di sebuah bilik sewa.

KUANTAN - Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kematian seorang pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) kepada pihak polis.

Mendiang, M Elisa Jonova, 19, pelajar Program Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan ditemukan tidak sedarkan diri pada pagi Selasa.

JPPKK dalam satu kenyataan memaklumkan kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa.

"JPPKK dan Polisas akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu proses siasatan serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh," menurut kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar maut disyaki dibunuh di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2 selepas dipercayai berlaku perselisihan faham dengan teman lelakinya pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.32 pagi daripada teman lelaki mangsa yang memaklumkan kejadian tersebut.

Dalam pada itu, JPPKK menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Menurut kenyataan tersebut, JPPKK dan Polisas turut memaklumkan akan terus memberikan perhatian, sokongan serta bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang.

Sehubungan itu, JPPKK menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.

"Orang ramai turut diminta menghormati privasi dan perasaan keluarga mendiang dalam menghadapi saat yang sukar ini.

"JPPKK dan Polisas akan terus memberikan perhatian, sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang. Sebarang makluman lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, " kata kenyataan tersebut.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved