
KUALA LUMPUR — Kematian mengejut seorang pelajar berusia 16 tahun ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kebangsaan 2025 di Ipoh, Perak semalam berpunca daripada pendarahan dalaman akibat koyakan pada otot pelvis.
Mangsa, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, pelajar Sekolah Menengah Sains Johor (SMS Johor), dilaporkan rebah secara tiba-tiba ketika menyertai kejohanan yang berlangsung di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, bedah siasat yang dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati kematian berpunca daripada pendarahan dalaman.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah exsanguination from a psoas muscle tear, iaitu pendarahan dalaman pada otot psoas di bahagian pinggul kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan awal, remaja itu rebah berhampiran khemah pasukan kira-kira jam 10.30 pagi, sebelum memulakan separuh masa kedua perlawanan antara SMS Johor dan SMS Rembau.
Seorang pembantu perubatan yang berada di lokasi mendapati mangsa menunjukkan tanda-tanda seperti sawan, dengan tubuhnya kelihatan kaku dan menggeletar.
Usaha menyelamat (CPR) segera dilakukan apabila nadinya semakin lemah, sebelum dibawa ke HRPB.
Bagaimanapun, Muhammad Fauzan disahkan meninggal dunia pada jam 11.18 pagi.
“Tiada sebarang tanda penyakit dilaporkan sebelum perlawanan. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” tambah Abang Zainal.
Susulan tragedi, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk membatalkan baki kejohanan yang dijadualkan berlangsung sehingga esok dan tarikh baharu akan diumumkan kemudian.
Kejohanan berprestij itu menghimpunkan pasukan ragbi dari sekolah berasrama penuh seluruh negara dan diadakan di Padang Ragbi STAR, Ipoh. - Getaran, 4 Oktober 2025

