
ALOR SETAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengambil maklum dapatan awal siasatan polis bahawa kejadian menimpa pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Kulim dipercayai akibat tekanan berkaitan pencapaian akademik.
JPN Kedah dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, siasatan mengenai kejadian itu masih berjalan dan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“JPN Kedah amat simpati dengan kejadian yang menimpa seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di daerah Kulim Bandar Baharu.
“Pelajar terbabit kini dilaporkan sedar dan sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi di hospital. JPN Kedah mendoakan agar murid itu diberikan kesembuhan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sejurus menerima maklumat, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu mengambil tindakan segera termasuk menghubungi waris dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Sokongan psikososial kepada murid, keluarga dan rakan-rakan yang terkesan juga turut diberikan,” ujarnya.
JPN Kedah memandang serius kesejahteraan emosi dan mental murid serta menyeru ibu bapa dan warga pendidik supaya peka terhadap perubahan emosi anak-anak dan mendapatkan bantuan sekiranya diperlukan.
“JPN Kedah akan terus memantau perkembangan kes serta memastikan sokongan yang bersesuaian diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah menengah di Kulim, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.40 petang ketika waktu rehat.
Hasil temu bual polis dengan mangsa mendapati dia mengaku terjun sendiri dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik.
Mangsa didakwa sering membandingkan pencapaian akademiknya dengan kakaknya berusia 16 tahun yang kini belajar di tingkatan empat di sekolah sama. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar parah jatuh bangunan sedar, tekanan akademik disiasat appeared first on Kosmo Online.






