
SHAH ALAM, 6 OKT: Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah menengah di Kulim, Kedah Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika waktu rehat.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang guru lelaki berusia 48 tahun selepas mangsa ditemukan terbaring di lantai berhampiran tangga Blok E sekolah berkenaan.
“Pengadu kemudian pergi ke lokasi dan mendapati mangsa masih sedar serta boleh bercakap sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.
“Hasil temu bual polis dengan mangsa mendapati dia mengaku terjun sendiri dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik,” katanya seperti dilapor BH.
Syamsul berkata mangsa mendakwa sering membandingkan pencapaian akademiknya dengan kakaknya berusia 16 tahun yang kini belajar di Tingkatan Empat di sekolah sama.
“Menurut mangsa, peperiksaan akan berlangsung pada minggu depan dan dia bimbang tidak dapat memenuhi harapan ibu bapanya,” katanya.
Siasatan polis turut mendapati seorang pelajar perempuan pernah melihat hantaran Instagram Story mangsa sehari sebelum kejadian yang menyatakan mengenai tekanan berkaitan pelajaran dan keluarga.
Bagaimanapun, hantaran berkenaan sudah dipadam.




