
SHAH ALAM, 6 JULAI: Seorang pelajar perempuan cedera selepas dipercayai ditikam oleh seorang wanita di sebuah sekolah menengah di Banting dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, yang mengesahkan perkara itu berkata mangsa berada dalam keadaan stabil dengan sebarang maklumat lanjut akan dikongsikan segera.
“Ya kejadian berlaku, kenyataan media awal akan dikeluarkan untuk pengesahan dan keadaan mangsa stabil,” katanya ketika dihubungi.
Suspek bagaimanapun berjaya ditahan sejurus kejadian itu.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan kekecohan di sebuah sekolah apabila seorang wanita berpakaian serba hitam sedang memegang sebilah pisau dan berlegar dalam kawasan sekolah berkenaan.
Menerusi video berdurasi 29 saat itu, sekumpulan pelajar dilihat berlari menyelamatkan diri sambil kedengaran bunyi tiupan wisel.
Pada masa sama, individu terbabit dilihat berjalan sambil membawa senjata tajam dipercayai sebilah pisau ‘rambo’.






