
Kisah seram tersebut sudah bertahun-tahun berlalu, namun masih kekal dalam ingatan jejaka berusia 30 tahun itu.
Pada awal kemasukan Ammar (bukan nama sebenar) ke universiti awam tersebut, dia menganggap Hafiz cuma rakan sebilik yang agak pendiam.
Namun, selepas bertahun-tahun bersahabat, Ammar mula menyedari perubahan sikap rakan karibnya itu apabila gred peperiksaan Ammar sentiasa mengatasi pencapaian Hafiz.
Setiap kali keputusan peperiksaan keluar, Hafiz hanya tersenyum tawar.
“Tahniah Ammar, kau memang selalu bertuah. Aku yang berjaga setiap malam pun tidak pernah dipandang pensyarah,” ujar Hafiz kepada Ammar dengan nada cukup dingin.
Ammar hanya menganggap kata-kata itu sebagai satu gurauan, tanpa menyedari api cemburu dalam diri Hafiz sudah mula merosakkan fikirannya.
Terdesak untuk memintas Ammar demi gelaran pelajar terbaik, Hafiz diam-diam bertemu dengan seorang pengamal ilmu hitam di kampungnya untuk hantar santau.
Dia dihadiahkan sebotol kecil minyak calit berbau aneh. Syaratnya ringkas, minyak itu perlu dicalit pada barangan peribadi Ammar setiap malam Jumaat.
Hafiz juga dikehendaki memberi makan kepada lembaga yang mendampingi minyak tersebut.
“Kesan khianat itu tidak menunggu lama. Tiba-tiba, fikiran saya sering menjadi ‘kabur’ sewaktu kuliah.
“Tugasan akademik yang disiapkan pula kerap rosak atau hilang secara misteri. Sebaliknya, markah peperiksaan Hafiz melonjak naik secara mendadak,” kongsi Ammar.
Kejayaan yang diraih secara syirik itu membawa malapetaka yang tidak disangka-sangka.
Selepas beberapa minggu amalan tersebut dijalankan Hafiz, Ammar berkata, dia mula diganggu kejadian aneh tepat pukul 2 pagi.
Setiap kali terbangun daripada tidur, dadanya terasa amat sesak, seolah-olah dihempap batu besar.
Apabila matanya dibuka perlahan-lahan dalam samar cahaya lampu, Ammar terkesima melihat susuk seorang perempuan tua berbadan bongkok sedang bertenggek di atas dadanya.
Rambut lembaga itu yang panjang mengurai dan kotor melilit leher Ammar, manakala wajahnya cengkung serta mengelupas tepat merenung ke mata Ammar.
“Bau busuk tiba-tiba memenuhi segenap ruang bilik.
“Saya menjerit kepada Hafiz dan meminta tolong kerana tidak boleh menggerakkan badan saya.
“Tapi Hafiz yang berada di katil sebelah hanya menutup dirinya dengan selimut dan memberitahu saya cuma bermimpi,” kata Ammar.
Ternyata, semua kejadian misteri itu angkara cemburu Hafiz. Lama-kelamaan kesihatan Ammar merosot.
Kulit wajahnya bertukar pucat dan cengkung, manakala kesihatan mentalnya semakin terganggu. Kemuncak krisis itu berlaku pada suatu hari di malam Jumaat.
Ammar berkata, dia menjerit sambil mencakar lehernya sendiri sehingga berdarah kerana berasa seperti dicucuk oleh sesuatu yang tajam.
Rentetan itu, salah seorang penghuni asrama terus memanggil pihak pengurusan dan seorang ustaz.
Sebaik sahaja ustaz masuk dan membacakan ayat-ayat suci al-Quran, suasana bilik menjadi sangat panas.
Tiba-tiba, Hafiz menjerit sambil memegang poket seluarnya yang bertukar hitam dan berasap.
“Panas ustaz, tolong berhenti. Ampunkan aku Ammar,” jerit Hafiz sambil melutut dan mengeluarkan botol kecil yang sudah pecah di tangannya.
Ammar berkata, dia kemudian dibawa pulang oleh keluarga bagi mendapatkan rawatan perubatan Islam dan mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Saya terpaksa menangguh pengajian selama dua tahun bagi memulihkan semula semangat,” katanya.
Hafiz pula tidak sempat menamatkan pengajian kerana dibuang universiti, malah dikhabarkan dia menjadi orang kurang siuman.
“Apabila teringat kejadian itu, sejujurnya saya sedih. Tak sangka rakan sendiri sanggup melakukan perbuatan terkutuk sebegitu kerana cemburu”, kata Ammar mengakhiri bicara.
The post Pelajar pintar disantau calit minyak rakan sebilik appeared first on Kosmo Online.




