GEORGE TOWN – Pelajar dari Pulau Pinang yang sedang melanjutkan pengajian di Jordan dan Mesir dilaporkan berada dalam keadaan selamat walaupun berlaku ketegangan di Asia Barat ketika ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, perkara itu berdasarkan maklumat yang diterima daripada Duta Besar Malaysia di Jordan, Datuk Mohamad Nasri Abdul Rahman baru-baru ini.
Menurutnya, pejabat Kedutaan Malaysia di Amman sentiasa memantau keadaan dan berhubung rapat dengan pelajar bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.
“Setakat maklumat yang diterima daripada Datuk Nasri, semua pelajar Malaysia termasuk anak-anak Pulau Pinang di Jordan berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Pejabat kedutaan juga sentiasa berhubung dengan wakil pelajar selain bekerjasama dengan kita bagi memastikan kebajikan pelajar kita sentiasa terjaga,” katanya ketika ditemui pada Program Agihan Zakat Nur Ramadan 1447H di Masjid Al Mustaghfirin di Bayan Lepas pada Selasa.
Beliau berkata, kebanyakan pelajar Pulau Pinang di Jordan kini berada di beberapa kawasan utama termasuk Amman, Irbid dan Mu’tah.
Katanya, kesemua pelajar terbabit turut dinasihatkan supaya berada di kediaman masing-masing dan hanya keluar bagi tujuan menghadiri kuliah di kampus.
“Mereka juga diingatkan supaya tidak berada berhampiran kawasan ketenteraan atau pangkalan tentera sepanjang tempoh keadaan yang masih tegang ini,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 80 pelajar dari Pulau Pinang sedang menuntut di Jordan manakala di Mesir pula terdapat hampir 300 pelajar yang berdaftar di institusi pengajian di negara berkenaan
Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang keputusan untuk membawa pulang pelajar ke tanah air bergantung kepada penilaian semasa oleh Kementerian Luar Negeri serta laporan terkini daripada Kedutaan Malaysia di Amman.
“Setakat ini keadaan masih selamat dan mereka meneruskan kuliah seperti biasa,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, konflik antara Iran dan pakatan Amerika Syarikat (AS)-Israel terus meluas di seluruh Asia Barat pada Jumaat dengan serangan ketenteraan baharu, insiden keselamatan serantau serta kesan kemanusiaan dan ekonomi yang semakin meningkat dilaporkan di beberapa negara.
Komander Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper mendakwa pesawat pengebom B-2 Amerika telah menggugurkan puluhan bom penembus seberat 2,000 paun (kira-kira 900 kilogram) ke atas pelancar peluru berpandu balistik bawah tanah Iran, dengan hampir 200 sasaran di seluruh Iran diserang sepanjang 72 jam lepas, termasuk kawasan sekitar ibu negara Tehran, lapor Anadolu Ajansi.




