Pelajar SBP Maut: Bapa Desak Siasatan Telus, Menyeluruh 

19 Nov 2026 • 4:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pelajar SBP Maut: Bapa Desak Siasatan Telus, Menyeluruh 

KUALA KANGSAR - Bapa kepada pelajar tingkatan tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di sini menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian anaknya.

Mohd Idzwan Razali, 48, berkata keluarganya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian itu dan tidak mahu membuat sebarang andaian selagi siasatan serta bedah siasat belum selesai.

“Harapan saya, siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Taiping, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis bersama pengetua sekolah memaklumkan mengenai kematian anaknya kira-kira jam 4 petang semalam.

Menurutnya, anaknya telah menuntut di SBP berkenaan sejak tingkatan satu dan dijadualkan meneruskan persekolahan di situ sehingga tingkatan lima.

“Dia anak ketiga daripada lima beradik. Secara keseluruhannya, dia seorang anak yang baik,” katanya.

Mohd Idzwan berkata, anaknya baru pulang ke rumah sempena cuti perayaan Deepavali sebelum kembali semula ke asrama.

Getaran difahamkan, Mohd Idzwan berasal Kuala Lumpur, manakala keluarga isterinya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Mengimbas komunikasi terakhir bersama anaknya, beliau berkata mereka sempat berhubung menerusi aplikasi Telegram sebelum kejadian, dengan pelajar terbabit menghantar mesej seperti biasa dan bertanyakan sama ada beliau sudah makan.

Mohd Idzwan memaklumkan, pihak sekolah telah memberikan taklimat kepada keluarga berhubung perkara yang membawa kepada kejadian itu, bagaimanapun, mereka memilih untuk menunggu hasil siasatan dan bedah siasat sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya masih menunggu laporan lengkap berhubung kematian pelajar berkenaan sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Ketika ditanya sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan mental, Dzulkefly enggan mengulas lanjut sementara menunggu hasil siasatan rasmi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Kesihatan dan Kesejahteraan: Memperkukuh Bakat serta Keupayaan Penyelidikan di Asia, bersempena Festival Idea di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Idzwan berkata isterinya masih terkesan dengan kehilangan anak mereka.

Jenazah pelajar berkenaan dijangka dikebumikan di Juasseh, Kuala Pilah, selepas proses bedah siasat selesai.

Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kawasan sekolah kira-kira jam 6 petang semalam.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan telah digantung tugas buat sementara bagi membantu kelancaran siasatan.

Beliau turut mengesahkan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian berfungsi dengan baik dan rakaman berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis.

Kementerian Pendidikan juga telah mengarahkan Jemaah Nazir Persekutuan meneliti aspek pengurusan sekolah serta pematuhan prosedur keselamatan, selain menyediakan sokongan psikososial kepada individu yang terkesan dengan kejadian itu. - Getaran, 19 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved