
IPOH: Empat lagi ahli kumpulan samun yang dipercayai aktif melakukan jenayah di empat negeri termasuk Perak sedang diburu, susulan kematian ketua kumpulan itu yang ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan itu dipercayai aktif sejak tahun lalu dengan menyasarkan rumah banglo, berkembar dan teres yang terletak berhampiran lebuh raya.
Katanya, suspek akan meninjau kawasan sasaran sebelum melakukan samun dengan memakai topeng muka.
“Siasatan mendapati kumpulan terbabit disyaki terlibat dalam kira-kira 22 kes jenayah pecah rumah di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.
“Mereka juga boleh bertindak agresif dan tidak teragak-agak mencederakan mangsa, selain menggunakan senjata api dan parang ketika melakukan kegiatan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Kumar berkata, seorang lagi ahli kumpulan berkenaan sudah ditahan kira-kira seminggu lalu dan kini direman sehingga 22 November ini bagi membantu siasatan kes samun di Tanjung Malim.
Mengulas kejadian tembakan itu, beliau berkata, polis memintas kereta Perodua Axia yang dipandu suspek berusia 39 tahun itu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 2.30 pagi.
Katanya, suspek enggan mematuhi arahan polis supaya memberhentikan kenderaan dengan memecut laju sehingga berlaku kejar-mengejar.
“Selepas kenderaan itu berjaya dipintas, suspek keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sebelum anggota terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
“Suspek ditemui dalam longkang berhampiran lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan sepucuk senjata api separa automatik, tiga butir peluru hidup, enam kelongsong peluru dan tiga bilah parang.
Katanya, polis turut merampas satu paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu dan pelbagai peralatan untuk kegiatan samun dan pecah rumah.
“Berdasarkan barangan yang dirampas, kita percaya suspek berkemungkinan besar dalam perjalanan untuk mengumpulkan rakan-rakan jenayah yang lain,” katanya.-UTUSAN
The post Polis buru empat lagi ahli kumpulan samun empat negeri appeared first on Utusan Malaysia.





![[KEMASKINI] Penjenayah maut ditembak selepas cuba lolos](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/IMG_3160.jpeg)
