Pelajar sekolah antara 13 lelaki terlibat kes gaduh guna senjata ditahan

30 Aug 2026 • 3:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar sekolah antara 13 lelaki terlibat kes gaduh guna senjata ditahan
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

GEORGE TOWN - Polis menahan 13 lelaki tempatan termasuk tiga remaja bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan menggunakan senjata yang berlaku di hadapan sebuah sekolah di Air Itam di sini awal pada Sabtu. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, semua mereka berusia 16 hingga 33 tahun itu ditahan dalam lima serbuan di sekitar negeri ini.

Serbuan itu melibatkan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan bantuan Balai Polis Central.

"Operasi itu bermula jam 8.19 malam tadi (Sabtu) hingga jam 4.22 pagi hari ini (Ahad) … seorang daripada mereka ialah pelajar sekolah, manakala yang lain bekerja dalam sektor makanan, penghantaran dan pengangkutan serta dua lagi tidak bekerja.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad. 

Berdasarkan siasatan kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.45 pagi pada Sabtu, membabitkan pergaduhan menggunakan senjata yang melibatkan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 25 tahun, dipercayai berpunca daripada pertikaian hutang.

Lim berkata polis turut menyiasat insiden sebuah kereta yang dipercayai melanggar seorang mangsa ketika pergaduhan itu sehingga menyebabkan lelaki tersebut mengalami  kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Izzati Rohim menerusi talian 013-4092884, atau balai polis berhampiran. - Bernama 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved