
Polis Pulau Pinang tahan 13 lelaki termasuk tiga remaja susulan pergaduhan bersenjata di hadapan sekolah di Air Itam berikutan pertikaian hutang.
GEORGE TOWN: Polis menahan 13 lelaki tempatan termasuk tiga remaja bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan menggunakan senjata yang berlaku di hadapan sebuah sekolah di Air Itam, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata semua mereka berusia 16 hingga 33 tahun itu ditahan dalam lima serbuan di sekitar negeri ini.
Serbuan itu melibatkan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan bantuan Balai Polis Central.
“Operasi itu bermula pada 8.19 malam tadi hingga 4.22 pagi hari ini … seorang daripada mereka ialah pelajar sekolah, manakala yang lain bekerja dalam sektor makanan, penghantaran dan pengangkutan serta dua lagi tidak bekerja.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan siasatan kejadian itu berlaku kira-kira 2.45 pagi semalam, membabitkan pergaduhan menggunakan senjata yang melibatkan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 25 tahun, dipercayai berpunca daripada pertikaian hutang.
Lim berkata polis turut menyiasat insiden sebuah kereta yang dipercayai melanggar seorang mangsa ketika pergaduhan itu sehingga menyebabkan lelaki tersebut mengalami kecederaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Izzati Rohim menerusi talian 013-4092884, atau balai polis berhampiran.






