Pelajar senior mohon maaf kepada Zara beberapa kali kerana simpati

LocalFamily & Parenting
14 Oct 2025 • 1:14 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner pada Isnin diberitahu oleh seorang pelajar senior bahawa dia pernah memohon maaf kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir beberapa kali kerana rasa simpati selepas melihat pelajar berusia 13 tahun itu sering dipanggil oleh pelajar senior sebelum 15 Julai lalu.

Menurut Peguam Rizwandean M Borhan saksi kanak-kanak ke-11 yang juga saksi ke-20 dalam prosiding inkues itu berkata dia pernah bertemu dengan Zara sebanyak dua atau tiga kali di asrama untuk memohon maaf bagi pihak kumpulan pelajar senior yang dikenali sebagai “Circle 19.”“Saksi berkata dia berasa kasihan terhadap Zara selepas melihat mangsa kelihatan sedih, kecewa dan tertekan setiap kali dipanggil oleh pelajar senior.

“Dia juga menyatakan bahawa dirinya turut memohon maaf kepada pelajar junior lain yang pernah dipanggil oleh kumpulan pelajar senior sama.

“Saksi memaklumkan bahawa dia biasanya akan menemui Zara selepas kejadian itu untuk menenangkannya kerana dia sendiri pernah melalui pengalaman serupa,” kata Rizwandean.

Saksi itu menambah bahawa setiap batch pelajar di sekolah berkenaan mempunyai kumpulan masing-masing dan Circle 19 merupakan kumpulan terbesar dalam kumpulannya selain mengesahkan bahawa kumpulan itu mempunyai seorang ketua.

Katanya semasa dia masih pelajar junior memang terdapat juga kumpulan pelajar senior lain yang mempunyai amalan serupa iaitu memanggil pelajar junior untuk bersemuka.

“Namun bukan kebiasaan bagi pelajar untuk menggeledah loker pelajar junior dalam kes kecurian,” katanya sambil menambah bahawa jarang berlaku pelajar senior memaki pelajar junior.

Beliau berkata sekiranya berlaku kes kecurian membabitkan pelajar junior kebiasaannya sama ada dia sendiri atau pelajar berkenaan akan melaporkan perkara itu kepada guru untuk tindakan lanjut.

Saksi turut menggambarkan Zara sebagai seorang pelajar ceria, sopan dan peramah yang sering memberi salam kepada senior dengan ucapan “Assalamualaikum kak” serta gemar berkongsi makanan.

Dia juga memberitahu bahawa Zara rapat dengan seorang pelajar Badar senior yang sangat dikaguminya dan pernah menyatakan hasrat untuk menyertai kumpulan itu suatu hari nanti sambil menambah bahawa senior tersebut berdisiplin dan berakhlak baik.

Saksi berkenaan turut memaklumkan bahawa pada malam 15 Julai antara jam 10 malam hingga 11 malam dia diberitahu Zara sekali lagi telah dipanggil oleh beberapa pelajar senior berhubung kehilangan kad bank dan pin bendera milik pelajar lain.

Beliau kemudian mendengar daripada pelajar lain bahawa Zara telah mengunci diri di dalam tandas malam itu namun tidak mengetahui masa sebenar kejadian.

Sekitar 3.50 pagi saksi terjaga selepas diberitahu oleh seorang pelajar lain bahawa ada seseorang ditemui tidak sedarkan diri dan dibawa ke hujung blok asrama sementara menunggu ambulans tiba.

“Dia kemudian mengetahui bahawa pelajar itu ialah Zara,” kata Rizwandean.

Keesokan paginya saksi mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah dan hanya mengetahui kemudian bahawa keadaan Zara berada dalam tahap kritikal.

Saksi turut memberitahu Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa dia tidak menyaksikan sebarang kekerasan fizikal malam itu dan hanya mengetahui butiran kejadian daripada pelajar lain.

Inkues tersebut yang kini memasuki hari ke-21 akan bersambung pada Selasa dengan keterangan saksi kanak-kanak ke-12.