
SEREMBAN – Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan buli.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Za’ba, Abd. Malek Abd. Ghani berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan punca sebenar kejadian dapat dikenal pasti.
Katanya, siasatan berkenaan mungkin mengambil sedikit masa bagi memastikan ia dilakukan dengan lengkap.
Beliau berkata, terdapat beberapa hantaran di media sosial berkaitan kes berkenaan, namun ketepatan maklumat yang diperkatakan masih tidak dapat dipastikan.
“Saya minta orang ramai bersabar kerana siasatan sudah bermula dan kita semua perlu berhati-hati dengan hantaran di media sosial,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abd. Malek berkata, SMK Za’ba merupakan Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang mempunyai seramai 315 pelajar.
Katanya, sekolah berkenaan terbabit dalam sukan bola sepak, hoki, sepak takraw, olahraga, bola jaring dan memanah, manakala arwah adalah pelajar tingkatan dua yang terlibat dalam aktiviti memanah.
Semalam, pelajar berkenaan, SMK Za’ba, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan dan dipercayai menjadi mangsa buli.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya akan memberikan butiran lanjut dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar SMK Za’ba maut: Jangan buat spekulasi – PIBG appeared first on Kosmo Online.






