Pelajar STPM maut langgar lembu melintas

23 Jan 2026 • 1:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Motosikal ditunggangi pemuda berusia 20 tahun remuk di bahagian hadapan selepas melanggar seekor lembu di tengah jalan Felda Jengka 12 pada malam Khamis. Foto: Polis Maran
image is not available
Bangkai seekor lembu yang dipercayai punca kemalangan membabitkan sebuah motosikal di Jalan Felda Jengka 12 pada malam Khamis. Foto: Polis Maran

MARAN – Seorang pelajar yang akan menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun ini maut selepas motosikal ditungganginya melanggar seekor lembu melintas dalam kemalangan di Jalan Felda Jengka 12 di sini pada Khamis malam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Izhar Hariz Izamuddin, 20, dari Taman Sagumpas 2, Temerloh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM VF3i sedang dalam perjalanan dari Bandar Pusat Jengka menghala ke Jengka 12.

**media[3410546]**

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar seekor lembu yang berada di tengah jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh ke bahu jalan sebelah kanan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati laluan berkenaan merupakan jalan lurus, namun gelap dan tidak mempunyai lampu jalan.

“Motosikal yang ditunggang mangsa turut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.