
Seorang pelajar tingkatan dua mengalami kecederaan tisu lembut selepas dipukul pelajar tingkatan empat di sebuah asrama sekolah menengah di Kuala Pilah.
KUALA PILAH: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua cedera selepas dipercayai dipukul pelajar tingkatan empat di sebuah asrama sekolah menengah di daerah ini pada 27 Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Muhammad Mustafah Hussin berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11.40 malam di sebuah asrama sekolah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 14 tahun itu telah dipanggil oleh suspek susulan perselisihan faham antara mereka sebelum dipukul oleh suspek sehingga mengalami kecederaan, mangsa kemudiannya dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan di hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut.
Mustafah berkata polis telah mengenal pasti suspek untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.






