Pelajar tingkatan dua maut di asrama, polis siasat kes bunuh

26 Sep 2026 • 1:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pelajar tingkatan dua maut di asrama, polis siasat kes bunuh

SHAH ALAM, 26 SEPT: Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis turut menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin memaklumkan berhubung satu kejadian mendatangkan cedera terhadap seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun.

"Mangsa dikatakan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alzafny berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam tadi di salah sebuah asrama sekolah di daerah Kuala Pilah.

"Susulan kejadian itu, pihak polis menjalankan siasatan segera mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahan seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun.

"Pihak polis juga sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau menularkannya sehingga boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar yang terbabit.

Beliau berkata, PDRM memandang serius sebarang kejadian keganasan yang membabitkan pelajar khususnya kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

Katanya, polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan.

"Keutamaan pihak polis adalah untuk memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved