
BAGAN SERAI – Seorang penjawat awam berusia 37 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan kehilangan barang kemas di sekitar daerah Kerian.
Lelaki tempatan itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di Padang Rengas, semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Jafri Md Zain berkata, dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah kenderaan dan tangga teleskopik bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis turut merampas barang kemas serta beberapa resit urus niaga barang kemas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui bahagian bumbung dengan menggunakan tangga sebelum melarikan barang kemas.
“Suspek turut dipercayai terlibat dalam beberapa kes lain dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jafri berkata, jumlah kerugian berdasarkan resit yang dirampas dianggarkan sebanyak RM100,161 bagi tempoh sejak Jun lalu hingga kini. – KOSMO! ONLINE
The post Penjawat awam ditahan disyaki terbabit kes pecah rumah appeared first on Kosmo Online.






