Pelajar Tingkatan Empat terkena tumpahan merkuri di sekolah

LocalHealth & Fitness
8 Jul 2026 • 8:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar Tingkatan Empat terkena tumpahan merkuri di sekolah
Anggota keselamatan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membersihkan sisa bahan kimia jenis merkuri yang tumpah di makmal berkenaan.

DUNGUN - Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besi di sini cedera pada bahagian tangan selepas terkena tumpahan merkuri di makmal kimia sekolah berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al Muktafi Billah Shah, Pegawai Bomba Kanan II Kama Suhaimi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira jam 1.34 tengah hari pada Selasa sebelum mengerahkan enam anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah termometer terjatuh lalu pecah di atas meja makmal.

“Insiden itu mengakibatkan tumpahan bahan kimia merkuri yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 0.6 meter persegi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam pada itu, beliau memuji tindakan pantas pihak sekolah yang mengambil langkah awal dengan menaburkan serbuk sulfur di kawasan terjejas bagi mengawal dan mengurangkan risiko pencemaran merkuri daripada merebak.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi telah menjalankan kerja pembersihan bagi memastikan kawasan makmal kembali selamat.

“Semua sisa merkuri yang berbahaya berjaya dikumpulkan sepenuhnya oleh pihak bomba untuk diserahkan bagi proses pelupusan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved