
GEORGE TOWN - Seorang pelajar perempuan universiti berusia 21 tahun ditemukan meninggal dunia di bawah blok asramanya di Jalan Bukit Gambir, Gelugor, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad berkata, pihak universiti memaklumkan kejadian itu kepada polis pada jam 8.40 pagi selepas pelajar berkenaan ditemukan oleh seorang pekerja pembersihan kira-kira jam 7.25 pagi.
“Pelajar itu ditemukan dalam keadaan terlentang di bawah blok asrama dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal di tempat kejadian tidak menemukan sebarang tanda jelas unsur jenayah, namun pemeriksaan terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kecederaan luaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Polis membuka kertas siasatan kematian mengejut bagi menyiasat keadaan sebenar kejadian itu. - Getaran, 15 Oktober 2026






