
PETALING JAYA: Isu kekurangan kolej kediaman kembali menjadi keluhan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) apabila sebahagian mereka mendakwa terpaksa mencari alternatif penginapan lain selepas gagal mendapat penempatan di kolej kediaman walaupun telah mengumpul merit yang tinggi.
Menurut Koordinator Liga Mahasiswa Malaysia, Chan Ea Shen, isu kekurangan kolej kediaman ketika ini berada pada tahap kritikal terutama di kawasan bandar berkepadatan tinggi seperti Universiti Malaya (UM).
“Kapasiti kolej kediaman tidak lagi seimbang dengan pertambahan jumlah kemasukan pelajar setiap tahun.
“Di sesetengah universiti yang mempunyai kawasan luas seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), cabarannya berbeza namun di UM sistem pengumpulan merit aktiviti terlalu tinggi dan kompetitif pun masih belum menjamin tempat tinggal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, isu ini bukan sahaja berulang setiap kali bermulanya sesi akademik baharu malah semakin meruncing akibat lonjakan kos sara hidup dan kadar sewa di luar kampus.
“Untuk pelan jangka pendek pihak universiti perlu menyediakan portal atau senarai sewaan luar kampus berpusat yang memaparkan rumah sewa selamat dan mampu milik serta bekerjasama dengan pemilik rumah tempatan.
“Selain itu, universiti boleh menyediakan subsidi sewa atau elaun penempatan kecemasan untuk mahasiswa B40 yang tidak mendapat kolej kediaman,” katanya.
Seorang pelajar di universiti awam, Nur Aalia Hisham berkata, dia kesal selepas permohonan kolejnya tidak diluluskan walaupun telah mengumpul merit sebanyak 41.25 pada semester ini.
Menurutnya, hal ini sangat memberi kesan kepadanya kerana mempunyai kekangan kewangan untuk menyewa rumah yang memakan perbelanjaan minimum RM486 sebulan termasuk kos pengangkutan untuk ke kelas.
“Saya sangat tertekan dengan masalah kos kerana keluarga saya banyak komitmen, adik baru masuk institut pengajian tinggi swasta (IPTS), dan kekangan lain,” katanya.
Katanya, dia telah membuat rayuan permohonan kolej dan menghantar e-mel kepada pihak berkaitan sebagai usaha terakhirnya untuk mendapatkan kolej kediaman.
Nur Aalia berkata, jika keputusan rayuan kolej kediaman tidak berpihak kepadanya dia terpaksa menumpang terlebih dahulu di rumah rakan.
Seorang lagi pelajar universiti awam, Siti Aina Rusdi berkata, dia terpaksa bekerja secara sambilan sebanyak empat hingga lima kali seminggu untuk menampung kos sewa bilik, kerana tidak mendapat kolej kediaman walaupun telah mengumpul merit melebihi 60.
Katanya, dia terpaksa bekerja sambil belajar kerana duit pinjaman yang diperoleh tidak cukup untuk menampung bayaran sewa rumah dan perbelanjaan harian.
“Anggaran untuk sebulan kos tambahan kira-kira RM300 untuk rumah sewa, tidak termasuk kos pengangkutan dalam anggaran RM250 sebab saya tiada kenderaan jadi terpaksa menggunakan e-hailing,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Luqman Nurhakim Zulikhsyam berkata, isu kekurangan penempatan kolej kediaman masih menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian serius.-UTUSAN.
The post Pelajar universiti mengeluh kolej kediaman tidak cukup appeared first on Utusan Malaysia.






