Pelakon Gerak Khas 2.0 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ambil dadah

LocalEntertainment
10 Jul 2026 • 3:14 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Tisha Shamsir tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan dadah

Pelakon drama Gerak Khas 2.0, Tisha Shamsir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memberikan tiga jenis dadah kepada dirinya sendiri.

Tisha, 40, atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunissak Hassni.

Mengikut pertuduhan, hasil ujian air kencing didapati tertuduh telah memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada kira-kira jam 7.30 pagi, 7 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, selain dikenakan perintah pengawasan selama dua hingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurainna Maryam Norazman memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Azhar Nik Adib, memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sendiri dan mempunyai pendapatan tidak menentu.

Baca juga:

Beliau turut memaklumkan bahawa Tisha telah berpisah dengan suami serta menanggung kedua-dua ibu bapanya yang berusia dalam lingkungan 70-an.

Menurut peguam itu, tertuduh sebelum ini telah diberikan jaminan polis dan hadir sendiri ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan, sekali gus menunjukkan tiada risiko untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Tisha diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di ibu negara selepas didapati positif dadah.

Dalam operasi yang dijalankan pada 7 Julai lalu itu, seramai 14 individu termasuk penjaga premis, tujuh lelaki dan enam wanita turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

The post Pelakon Gerak Khas 2.0 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ambil dadah appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved