
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, peminat dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan penahahan seorang pelakon wanita yang membintangi drama siri kepolisan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur kerana disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
Walau bagaimanapun, pelakon itu kemudiannya dibebaskan semula dengan jaminan polis.
Pelakon Wanita Mengaku Tidak Bersalah Atas Pertuduhan Beri 3 Jenis Dadah Kepada Diri Sendiri
Terbaharu, pelakon wanita yang dikenali sebagai Tisha Shamsir yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan tiga jenis dadah kepada diri sendiri.
Tisha atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan pertuduhan, Tisha yang berusia 40 tahun itu didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin ke dalam badan sendiri menerusi ujian air kencing di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada Selasa (7 Julai) lalu jam 7.30 pagi.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Tertuduh Kelihatan Tenang, Rayu Bayaran Ikat Jamin Dikurangkan
Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman (YBGK), Nik Azhar Nik Adib kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nurainna Maryam Norazman yang menawarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Walau bagaimanapun, peguam tertuduh meminta bayaran ikat jamin dikurangkan atas alasan wanita terbabit bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak menentu selain telah berpisah dengan suami serta perlu menanggung ibu bapa yang merupakan warga emas.
Bukan itu sahaja, tertuduh telah diberikan jaminan polis dan hadir sendiri ke mahkamah dan tiada risiko melarikan diri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan tarikh 8 Oktober sebagai sebutan semula kes.
Pelakon Digugurkan Dari Membintangi Drama Gerak Khas 2.0
Terdahulu, pelakon wanita yang membintangi drama siri kepolisan popular negara itu ditahan bersama 17 individu ketika serbuan dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Malah penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam telah menggugurkan pelakon tersebut bagi menjaga imej drama Gerak Khas 2.0 yang baru sahaja seminggu bersiaran.
Jelas Yusof, penggambaran drama yang mempunyai 26 episod itu telah siap 90% dan hanya berbaki dua minggu sahaja lagi untuk diselesaikan.
Terangnya lagi, tindakan tegas itu bukan shaaja sebagai pengajaran kepada pelakon yang memegang watak inspektor malah kepada barisan pelakon lain.
Apatah lagi, dia sebelum itu telah mengingatkan semua pihak agar berdisiplin dan mengelakkan diri dari terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan imej drama dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Baca Artikel Berkaitan: Budak 3 Tahun Positif Dadah, Influencer Ditahan Reman Untuk Bantu Siasatan
Baca Artikel Berkaitan: “Kami Takkan Ikat Jamin Mereka..” Penerbit Terkilan, Gugurkan Pengarah dan Pembantu Pengarah Yang Ditahan Positif Dadah






