Pelakon perlu faham erti kerjasama, jangan jadi dungu dan hanya menurut – Zul Ariffin

Entertainment
10 Sep 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelakon perlu faham erti kerjasama, jangan jadi dungu dan hanya menurut – Zul Ariffin

KUALA LUMPUR: Pernah berdepan kontroversi membabitkan kandungan drama, pelakon, Zul Ariffin mengakui pengalaman lalu mengajarnya supaya tidak lagi menerima bulat-bulat setiap perkara yang terkandung dalam skrip.

Menurut Zul, pelakon perlu berani menyuarakan pandangan dan memahami konsep kerjasama dengan produksi, terutama apabila melibatkan kandungan yang berpotensi mencetuskan kontroversi.

“Saya sudah melalui perkara itu. Jadi, saya tidak akan lagi meletakkan diri dalam keadaan di mana saya hanya menurut dan mengangguk terhadap apa sahaja yang disuruh atau ditulis dalam skrip.

“Sebagai pelakon, kita perlu faham erti kerjasama. Kalau tidak, kita akan jadi dungu dan hanya menurut. Apabila sesuatu berlaku, akhirnya kita yang akan dipersalahkan.

“Saya belajar daripada pengalaman itu dengan cara yang sukar. Saya bukan mahu menuding jari kepada sesiapa, tetapi kalau perkara sama berlaku pada masa akan datang, kemungkinan itulah yang akan terjadi.

“Sebab itu perlu berhati-hati. Sejujurnya, perkara itu tidak berbaloi. Ini hanya pekerjaan, bukannya soal hidup dan mati,” katanya ketika ditemui pelancaran telemovie Takdirnya Cinta, pada Rabu.

Zul mengulas perkara itu ekoran isu kandungan beberapa drama yang menerima kecaman hebat di media sosial sejak kebelakangan ini.

Pun begitu, Zul menyambut baik tindakan terhadap drama atau kandungan yang mencetuskan kontroversi, namun berharap penguatkuasaan dilakukan secara konsisten.

“Kalau ada tindakan diambil, baguslah. Tetapi sebelum ini pun banyak perkara berlaku tanpa sebarang tindakan dan akhirnya senyap begitu sahaja.

“Mungkin tindakan itu diambil secara bermusim atau bergantung kepada individu tertentu, saya tidak tahu. Tetapi kalau ada, baguslah. Saya cuma bercakap berdasarkan apa yang saya lihat.

“Saya sendiri sudah melupakan perkara itu. Sebelum ini, ketika saya cuba untuk bangkit dan meneruskan kehidupan, saya rasa seperti ditolak ke bawah,” jelasnya.

Mengimbas kembali tempoh selepas kontroversi yang pernah dilaluinya, aktor itu mengakui dia tidak mempunyai tawaran lakonan dan memilih mengambil masa bagi menilai semula perjalanan kerjayanya.

“Nak tolak tawaran macam mana kalau tawaran pun tidak ada? Selepas perkara itu berlaku, saya mengambil sedikit masa untuk berundur dan menilai semula keadaan. Kadang-kadang kita perlu berundur seketika, ambil masa beberapa bulan dan kalau masih mahu meneruskan kerjaya, kita kembali.

“Tetapi kita kena kuat. Dalam situasi saya ketika itu, saya memilih untuk terus bergerak ke hadapan. Alhamdulillah, rezeki tetap ada. Tetapi dalam soal rezeki pun kita kena ada strategi,” tambahnya.

Sementara itu, pelakon telemovie Takdirnya Cinta itu turut menegur sikap segelintir pihak yang gemar menggunakan platform media sosial sebagai tempat untuk meluahkan rasa tidak puas hati apabila berdepan sesuatu isu.

“Media sosial bukan pihak berkuasa. Kalau mahu menangani sesuatu isu, pergilah melalui saluran yang betul. Buat dengan cara dan laluan yang sepatutnya. Jangan terlalu banyak merengek di media sosial,” katanya.

Terdahulu, Zul pernah terpalit kontroversi membabitkan drama Perempuan Itu selepas sedutan babak lakonannya bersama Siti Hariesa yang dianggap keterlaluan tular di media sosial.

Kontroversi tersebut mencetuskan kecaman ramai sehingga Zul tampil mengakui kesilapannya dan mengambil tanggungjawab terhadap perkara berkenaan.

The post Pelakon perlu faham erti kerjasama, jangan jadi dungu dan hanya menurut – Zul Ariffin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved