Pelakon masih perlu muncul di televisyen, bukan semua langgan OTT – Shahz Jaszle

LocalEntertainment
2 Sep 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelakon masih perlu muncul di televisyen, bukan semua langgan OTT – Shahz Jaszle

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shahz Jaszle berpendapat seorang pelakon masih perlu muncul menerusi drama televisyen meskipun platform penstriman (OTT) kini semakin berkembang dan menjadi pilihan ramai.

Menurut Shahz, pelakon tidak seharusnya hanya bergantung kepada OTT kerana televisyen masih menjadi medium hiburan utama bagi sebahagian masyarakat.

“Televisyen masih merupakan sebuah platform yang sangat bagus. Itu memang tidak boleh dinafikan. Walaupun kita berlakon untuk OTT, pada saya pelakon masih perlu muncul di televisyen juga kerana masih ramai masyarakat di luar bandar yang tidak mempunyai atau melanggan OTT.

“Saya sendiri akan terus berlakon untuk televisyen kerana saya membesar dalam industri menerusi medium itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Shahz, meskipun OTT menawarkan ruang lebih terbuka daripada segi kandungan serta menitikberatkan kualiti produksi, televisyen tetap mempunyai kelebihan tersendiri.

“Tidak dinafikan OTT lebih berani sebab tidak terlalu banyak tapisan dan kekangan. Saya pernah berlakon untuk OTT dan memang seronok kerana platform itu lebih terbuka. Dalam masa sama, mereka juga sangat menjaga kualiti sesebuah karya.

“Masing-masing mahu menghasilkan kandungan berkualiti dan mampu bersaing dengan platform besar seperti Netflix. Daripada segi bayaran pun memang lumayan. Sebab itu saya tetap menerima tawaran OTT,” jelasnya.

Mengulas kecenderungan segelintir pelakon generasi baharu yang lebih memberi tumpuan kepada platform digital, Shahz turut berpendapat populariti di media sosial atau OTT tidak mampu memberi impak yang sama seperti televisyen terutamanya di kawasan luar bandar.

“Saya beri satu senario. Kalau TikToker atau pelakon generasi baharu pergi ke sekitar Kuala Lumpur atau Selangor, memang ramai golongan muda akan mengenali mereka.

“Tetapi apabila pergi ke kawasan perkampungan, belum tentu makcik dan pakcik di sana mengenali mereka. Masih ramai sebenarnya yang bergantung kepada televisyen.

“Saya selalu menjalani penggambaran di kawasan kampung dan dapat melihat mereka masih menonton televisyen. Mereka juga sangat teruja apabila berjumpa dengan pelakon. Mereka masih menonton TV3 dan saluran televisyen lain.

“Malah, ada rumah penginapan yang kami duduk ketika penggambaran pun tidak mempunyai kemudahan untuk menonton secara dalam talian. Saya tetap akan ambil tawaran OTT, tetapi televisyen juga kena ada. Bagi saya, kedua-duanya mempunyai tempat masing-masing,” ujarnya.

The post Pelakon masih perlu muncul di televisyen, bukan semua langgan OTT – Shahz Jaszle appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved