Pelakon veteran Kamarozaman atau Cik Man meninggal dunia

LocalEntertainment
5 Aug 2026 • 9:30 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Pelakon veteran Kamarozaman atau Cik Man meninggal dunia

Pelakon veteran Cik Man atau Kamarozaman Yusoff meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat masalah saluran jantung tersumbat

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Kamarozaman Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man, 68, meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan kira-kira 5.30 petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham disahkan anak lelakinya Ahmad Fakhrol Aliff, 23.

Beliau memaklumkan bapanya ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan semalam, selepas disahkan mengalami masalah saluran jantung tersumbat.

“Saya sahkan abah saya sudah tiada sekitar pukul 5 lebih tadi. Beliau meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan.

“Abah dijangka dikebumikan esok kira-kira pukul 9 pagi memandangkan hari sudah lewat, namun lokasi pengebumian masih belum ditentukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Ahmad Fakhrol Aliff, bapanya pernah mengalami serangan jantung beberapa tahun lepas, selain mengadu sakit seperti gastrik dan angin sejak kebelakangan ini.

Allahyarham mula dikenali menerusi watak antagonis ikonik ketua Kumpulan Gagak Hitam dalam filem klasik Malaysia Gila-Gila Remaja pada 1986, filem komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid serta beberapa filem lain.

Terdahulu, berita pemergian Cik Man dikongsikan menerusi hantaran Facebook Mohammad Amirullah Azmi atau Amir Raja Lawak yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. 

“Dimaklumkan, Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Farok dan Cik Man baharu sahaja meninggalkan kita semua.

“Semoga arwah Abang Kamarool ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman, beramal soleh dan ahli syurga, amin ya rabbal alamin. Al-Fatihah,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved