Pelaksanaan cuci tandas sekolah perlu bersifat mendidik, perkukuh disiplin

LocalOpinion
19 Apr 2026 • 7:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelaksanaan cuci tandas sekolah perlu bersifat mendidik, perkukuh disiplin
Penglibatan pelajar secara langsung dalam menjaga kebersihan fasiliti awam seperti tandas sekolah dapat memupuk rasa tanggungjawab bersama. - FOTO: Bernama

SOKONGAN majoriti terhadap cadangan melibatkan pelajar dalam jadual mencuci tandas sekolah membuka ruang perbincangan yang lebih luas terhadap pendekatan pendidikan negara, khususnya dari segi kesedaran sivik dan pembentukan nilai disiplin dalam diri.

Sebelum ini, tinjauan undian (poll) yang dijalankan Sinar Harian di lima platform media sosial setakat jam 9 pagi pada Sabtu mendapati majoriti responden menyokong arahan kerajaan supaya pelajar dilibatkan dalam jadual mencuci tandas sekolah

Secara keseluruhan, sebanyak 2,658 undi direkodkan dengan 1,874 undi atau 70.5 peratus menyatakan setuju, manakala 784 undi atau 29.5 peratus tidak setuju.

Pada 3 April lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengarahkan semua sekolah di negara ini menyediakan jadual mencuci tandas yang melibatkan pelajar bagi memastikan kebersihan tandas sekolah terpelihara.

Beliau berkata, jadual yang akan dimulakan minggu hadapan itu melibatkan semua pelajar sebagai usaha memastikan kebersihan tandas, selain melatih mereka membentuk jati diri.

Secara asasnya, pelaksanaan jadual itu bukan sekadar usaha memastikan kebersihan tandas, tetapi membawa perspektif pengukuhan pendidikan yang lebih mendalam.

Dalam konteks kesedaran sivik, penglibatan pelajar secara langsung dalam menjaga kebersihan fasiliti awam seperti tandas sekolah dapat memupuk rasa tanggungjawab bersama.

Mereka tidak lagi melihat kebersihan sebagai tugas pekerja pembersihan semata-mata, sebaliknya memahami bahawa setiap individu memainkan peranan dalam mengekalkan persekitaran yang sihat dan selesa.

Dari sudut disiplin pula, jadual mencuci tandas berpotensi menjadi instrumen latihan kendiri yang berkesan.

Apabila pelajar diberi tanggungjawab mengikut jadual tertentu, mereka belajar tentang pengurusan masa, kepatuhan kepada peraturan dan kepentingan melaksanakan amanah yang diberikan, sejajar dengan usaha pembentukan jati diri lebih berstruktur serta berintegriti.

Bagaimanapun, pelaksanaan dasar tersebut juga perlu mengambil kira sensitiviti dan kesesuaian pelajar.

Tanpa garis panduan jelas, terdapat risiko ia disalah tafsir sebagai bentuk paksaan atau hukuman, sekali gus menjejaskan penerimaan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.

Oleh itu, pendekatan pelaksanaan harus bersifat mendidik, bukannya menghukum, dengan penekanan kepada nilai tanggungjawab dan kerjasama.

Selain itu, sokongan daripada pihak sekolah, guru dan ibu bapa amat penting bagi memastikan inisiatif berkenaan tidak menjadi beban malah, dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran tidak formal yang memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah pelajar.

Justeru, pendekatan perbincangan lebih teliti perlu diadakan bagi memastikan jadual tersebut dapat dilakukan sesuai untuk semua pelajar.