Pelaksanaan dasar WFH perlu dilaksanakan secara bersasar, seimbang - TPAD

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 4:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pada Jumaat, Fahmi dilaporkan berkata, cadangan kesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor awam akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet, Selasa depan.

SHAH ALAM - Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) berpandangan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (WFH) perlu dilakukan secara lebih bersasar dan seimbang, bukannya secara menyeluruh seperti mana tempoh krisis pandemik Covid-19 yang lalu.

Presiden TPAD, M Nathan menegaskan, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kestabilan operasi negara dapat dicapai tanpa menjejaskan sumber rezeki golongan pekerja gig serta kelangsungan industri pengangkutan negara.

Menurutnya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan kerajaan termasuklah mengehadkan pelaksanaan WFH hanya kepada sektor atau lokasi tertentu yang benar-benar memerlukan selain memberikan fleksibiliti kepada sektor swasta untuk menentukan kaedah kerja berdasarkan keperluan operasi masing-masing.

"Kehadiran fizikal di pejabat tetap menjadi keutamaan bagi menjamin kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta mengelakkan sebarang kelewatan dalam urusan yang memerlukan tindakan segera.

"Model kerja hibrid berkenaan mengekalkan sebahagian kehadiran fizikal di pejabat bagi memastikan ekosistem ekonomi harian dan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan bandar tidak terputus," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, cadangan kesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor awam akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet, Selasa depan.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz untuk meneliti cadangan tersebut bagi memastikan beberapa perkara diselaraskan.

Mengulas lanjut, Nathan berkata, beliau khuatir pelaksanaan WFH secara meluas bakal melumpuhkan permintaan perjalanan harian secara drastik memandangkan nasib pendapatan sektor pengangkutan bandar amat bergantung kepada rutin pergerakan masyarakat.

"Langkah tersebut turut berisiko mencetuskan kesan rantaian negatif terhadap ekosistem ekonomi bandar yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada kehadiran fizikal pekerja termasuklah peniaga kecil, restoran, gerai makanan dan kedai serbaneka di kawasan pejabat.

"Waktu pandemik terdapat pelbagai bentuk bantuan khas kerajaan untuk menyokong rakyat dan pekerja gig tetapi sekarang sebahagian besar pemandu e-hailing, teksi dan limo bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian tanpa jaringan perlindungan sosial yang mencukupi.

"Pendekatan dasar yang lebih menyeluruh dan seimbang amat penting bagi memastikan usaha menstabilkan operasi negara tanpa menjejaskan secara langsung kepada sumber rezeki golongan pekerja gig serta kelangsungan industri pengangkutan negara," ujarnya.

Nathan berkata, ribuan keluarga di Malaysia bergantung kepada sektor itu sebagai sumber pendapatan utama atau tambahan.

Katanya, TPAD juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan agensi berkaitan bagi membincangkan langkah-langkah lebih praktikal dalam melindungi kesejahteraan pemandu serta memastikan ekosistem pengangkutan negara terus mapan.