Perang Asia Barat: Pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor awam diputuskan Selasa depan

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 12:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fahmi ketika sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas di Menara Komunikasi, pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Cadangan kesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet, Selasa depan kata Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz untuk meneliti cadangan tersebut bagi memastikan beberapa perkara diselaras.

"Ini untuk sektor awam dan hasil daripada perbincangan itu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Selasa depan," katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini beliau memberitahu kerajaan meneliti cadangan tersebut memandangkan sebahagian syarikat telah melaksanakan kaedah kerja hibrid pasca pandemik dengan melaksanakan pengaturan WFH.

Media melaporkan Thailand melaksanakan pengaturan WFH untuk agensi kerajaan dan perusahaan negeri bagi mengurangkan penggunaan tenaga ketika ketegangan geopolitik berlarutan di Asia Barat.

Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya semua menteri melakukan sesi libat urus dengan industri di bawah kementerian masing-masing untuk mendapatkan maklum balas, pandangan, dapatan berhubung kesan yang mungkin dirasai oleh industri akibat daripada pergolakan di Asia Barat.

"Hasil daripada sesi-sesi libat urus itu akan dibawa, pertama ke mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan dan wakil industri juga akan dijemput untuk melakukan pembentangan bagi pihak industri masing-masing di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang.

"Untuk maklumat lanjut, Pejabat Perdana Menteri ataupun daripada Kementerian Kewangan akan mengeluarkan kenyataan," katanya.