Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95, jualan kenderaan premium berisiko menyusut - Kenanga

11/09/2025 - 11:04
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Sept - Sektor automotif tempatan dijangka beroperasi dalam dua keadaan sehingga awal 2026 dengan segmen kenderaan mampu milik kekal stabil manakala segmen premium berisiko menyusut apabila kumpulan M40 atasan dan T15 mula terkesan daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95.
Kenanga Research berkata, meskipun kerajaan memberi jaminan, 90% rakyat Malaysia tidak akan terjejas tetapi kumpulan berpendapatan tinggi bakal berdepan peningkatan kos sara hidup apabila subsidi RON95 ditarik balik secara berperingkat.
“Golongan M40 atasan dan T15 mungkin menangguhkan pembelian kereta baharu, memilih kenderaan lebih kecil atau beralih kepada model hibrid serta kenderaan elektrik (EV) bagi mengurangkan perbelanjaan bahan api," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, selain kenaikan perbelanjaan kos bahan api, isi rumah berpendapatan tinggi juga berdepan kenaikan tarif elektrik asas sebanyak 14% bagi penggunaan lebih tinggi.
Katanya, keadaan itu dijangka mendorong sesetengah pengguna memasang panel solar, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap EV yang boleh memanfaatkan lebihan tenaga grid.
Kos penyelenggaraan EV juga lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kerana jumlah komponen bergerak lebih sedikit, menjadikannya pilihan praktikal jangka panjang bagi kumpulan berpendapatan tinggi yang ingin mengawal perbelanjaan.
"Segmen kenderaan mampu milik yang dijangka stabil – didorong B40 dan M40 bawahan yang dilindungi daripada rasionalisasi subsidi serta disokong model gaji progresif – segmen premium dijangka perlahan kerana pengguna berpendapatan tinggi lebih berhati-hati dalam perbelanjaan besar.
"Kemungkinan akan berlaku situasi di mana sebahagian golongan M40 atasan dan T15 menukar pilihan kepada model lebih kecil atau lebih murah," katanya.
Sementara itu, Kenanga Research mengunjurkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini berada pada paras 805,000 unit didorong minat pembelian awal berikutan penangguhan pelaksanaan peraturan duti eksais baharu sehingga akhir 2025.
Perodua berpotensi mendapat manfaat paling besar dengan penguasaan pasaran TIV sebanyak 44% selain pelancaran model baharu yang menarik (iaitu Perodua hibrid, Perodua EV dan Perodua Myvi serba baharu).
Pada masa sama, peningkatan pendapatan isi rumah (contohnya, kenaikan gaji kakitangan kerajaan pada Disember 2024 serta kenaikan gaji minimum bermula Februari 2025) dan pasaran buruh yang stabil.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor itu.- DagangNews.com
featured standard


