Pelaksanaan projek LSS5 dan LSS5+, Kenanga jangka Samaiden nikmati lonjakan tempahan pekerjaan

Business & FinanceEnvironment
10 Sep 2025 • 12:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaksanaan projek LSS5 dan LSS5+, Kenanga jangka Samaiden nikmati lonjakan tempahan pekerjaan

image is not available

10/09/2025 - 12:33

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Samaiden Group Bhd dijangka menikmati lonjakan tempahan pekerjaan dalam tempoh terdekat hasil pelaksanaan projek solar berskala besar fasa kelima (LSS5) dan tambahan LSS5+, yang mempunyai kapasiti keseluruhan 4GW dan perlu disiapkan menjelang akhir 2027.

Kenanga Research berkata, prospek sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia semakin cerah selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan sumbangan tenaga hijau kepada 70% daripada jumlah campuran penjanaan tenaga negara menjelang 2050.

“Berdasarkan unjuran kami, terdapat kemungkinan besar Samaiden mampu meraih kira-kira 10% bahagian kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) daripada jumlah kontrak keseluruhan di bawah LSS5 dan LSS5+," katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research berkata, kumpulan itu mengambil langkah awal dengan membuat pembelian panel solar lebih awal sejak pertengahan 2025, sekali gus meminimumkan risiko turun naik harga panel.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan syarikat kerana sumbangan daripada projek LSS5+ hanya akan bermula pada tahun kewangan 2028 (FY28).

Bagaimanapun, ia menaikkan harga sasaran Samaiden kepada RM1.60 sesaham (daripada RM1.58), selepas mengambil kira aset baharu LSS5+ berkapasiti 99.99MW.

Samaiden dinilai positif kerana beberapa faktor termasuk rekod prestasi yang kukuh dalam menyiapkan projek mengikut masa dan bajet, kedudukannya sebagai antara pemain utama pasaran EPCC solar tempatan, serta keupayaannya menyediakan penyelesaian menyeluruh termasuk pembiayaan.

Walaupun begitu, risiko kekal termasuk kemungkinan kerajaan menyemak semula dasar RE, persaingan yang semakin sengit dengan kemasukan pemain baharu, risiko pelaksanaan projek seperti lebihan kos dan kelewatan, serta peningkatan kos panel solar.

"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard