Pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional jadi pemacu utama Malaysia dalam rantaian nilai global - Kenanga

LocalTechnology
14 Oct 2025 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional jadi pemacu utama Malaysia dalam rantaian nilai global - Kenanga

image is not available

14/10/2025 - 12:49

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - Kerajaan dijangka terus memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) sebagai langkah utama untuk memacu Malaysia ke kedudukan lebih tinggi dalam rantaian nilai global industri semikonduktor.

TA Securities berkata, langkah itu sejajar dengan komitmen kerajaan di bawah Belanjawan 2026, yang memperlihatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta institusi kewangan tempatan menyalurkan pelaburan, pembiayaan dan geran bagi menyokong pengembangan industri strategik berteknologi tinggi itu.

Katanya, penekanan turut diberikan kepada pembangunan modal insan, dengan pelaksanaan program latihan teknikal dan inisiatif pendidikan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan sektor semikonduktor global, khususnya dalam bidang reka bentuk cip, kejuruteraan bahan dan automasi perindustrian.

"Fokus kerajaan terhadap pelaksanaan NSS dijangka menjadi pemangkin utama untuk memperkukuh daya saing Malaysia dalam ekosistem teknologi global, serta menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke dalam negara.

"Selain itu, usaha bersepadu kerajaan juga dilihat selari dengan gelombang pelaburan global dalam pengeluaran cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi adn pembangunan pembangunan kilang fabrikasi baharu di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang kini menjadi tumpuan utama industri teknologi global," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia pada masa ini merupakan antara pemain utama dalam segmen peralatan ujian automatik (ATE) semikonduktor dunia dan strategi NSS dijangka memperkukuh rantaian nilai domestik dengan memperluas penyertaan tempatan dalam segmen reka bentuk dan pembuatan wafer, dua komponen yang menawarkan margin keuntungan lebih tinggi.

“Langkah kerajaan ini penting untuk memastikan Malaysia tidak kekal sebagai hab pembuatan kos rendah semata-mata, tetapi turut menjadi sebahagian daripada ekosistem cip global berteknologi tinggi," katanya.

TA Securities mengekalkan saranan "pegang" terhadap Inari Amertron Berhad dengan harga sasaran (TP) RM2.48 sesaham selepas mengambil kira potensi pengecualian daripada cadangan tarif semikonduktor baharu oleh pentadbiran Presiden Donald Trump di AS.

“Pelanggan utama Inari, yang merupakan pengeluar telefon pintar terkemuka dari AS, dijangka dikecualikan daripada potensi tarif baharu sektor semikonduktor. Ini akan mengurangkan risiko tekanan kos dan menyokong prospek jualan jangka sederhana," katanya.

Bagaimanapun, ketidaktentuan dasar perdagangan AS dilihat boleh mengganggu rantaian bekalan global akibat jualan yang lebih lemah daripada jangkaan, penyusutan nilai dolar AS berbanding ringgit dan lonjakan mendadak dalam harga komoditi.

Walaupun prospek sektor itu kekal mencabar, namun pelabur dijangka terus memberi tumpuan kepada syarikat yang memiliki keterdedahan tinggi kepada pelanggan utama global dan segmen bernilai tambah tinggi, khususnya dalam peranti AI dan automasi.- DagangNews.com

standard