
PETALING JAYA: Pelaku jenayah siber yang beroperasi dari luar negara kini boleh dikenakan tindakan sekiranya kesalahan melibatkan sistem di Malaysia atau mangsanya merupakan warganegara Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jenayah siber dan penipuan dalam talian pada masa kini tidak lagi terbatas oleh sempadan geografi.
Katanya, sindiket boleh beroperasi dari luar negara dengan menggunakan infrastruktur digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penyamaran identiti untuk menyasarkan mangsa di Malaysia.
“Justeru itu, peruntukan bidang kuasa rentas sempadan ini memberikan asas perundangan yang lebih jelas bagi membolehkan tindakan siasatan dan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap pelaku yang berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rusdi berkata, JSJK menyambut baik langkah kerajaan dalam memperkukuhkan kerangka perundangan negara melalui Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026, khususnya peruntukan yang membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku jenayah siber yang beroperasi dari luar negara.
Katanya, PDRM turut melihat pengukuhan kuasa penyiasatan berkaitan pemeliharaan dan penzahiran data, pengumpulan data trafik serta pemintasan komunikasi sebagai langkah penting dalam menangani jenayah siber.
Jelasnya, pengukuhan perundangan ini juga diyakini dapat memperkasa usaha PDRM dalam membanteras sindiket penipuan dalam talian.
“Selain, keberkesanan siasatan dapat dipertingkat serta memberikan kesan pencegahan kepada penjenayah yang beranggapan mereka boleh berlindung di sebalik sempadan negara atau teknologi digital,” jelasnya.
Katanya, JSJK kekal komited untuk memastikan ruang siber tidak dijadikan tempat perlindungan bagi penjenayah.
“Usaha memerangi jenayah siber memerlukan perundangan yang relevan, keupayaan penguatkuasaan yang responsif serta kerjasama antara agensi dan negara bagi melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah digital yang semakin kompleks,” katanya.
The post Pelaku jenayah siber beroperasi dari luar negara boleh dikenakan tindakan appeared first on Utusan Malaysia.





