Penjenayah siber luar negara boleh dikenakan tindakan

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 12:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penjenayah siber luar negara boleh dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Pelaku jenayah siber di luar negara boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya jenayah itu melibatkan sistem di Malaysia atau mangsanya merupakan warganegara Malaysia.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, fasal 2 Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 memperuntukkan tindakan terhadap pelaku berkenaan seolah-olah kesalahan itu dilakukan di negara ini.

 

Katanya, RUU tersebut telah digubal dan diluluskan Parlimen pada Julai lalu bagi menangani penipuan dalam talian menggunakan kecerdasan buatan (AI) termasuk penyamaran identiti, deepfake dan manipulasi digital.

 

“RUU ini bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] bagi menangani jurang perundangan sedia ada termasuk memperluas bidang kuasa terhadap jenayah siber rentas sempadan.

 

“Kerajaan menggunakan mekanisme kerjasama antarabangsa sedia ada untuk memastikan penjenayah luar negara dapat disiasat, didakwa dan jika memenuhi syarat, diekstradisi ke Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli (BN-Jempol) berhubung kecukupan kerangka perundangan bagi menangani penipuan dalam talian berasaskan AI serta peruntukan yang diperkukuh untuk mempercepat tindakan terhadap sindiket dan melindungi mangsa.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, fasal 23 RUU berkenaan memperluaskan skop kesalahan penyamaran menggunakan sistem komputer bagi menangani jenayah penyamaran digital yang semakin kompleks akibat kemajuan teknologi AI.

 

Katanya, undang-undang sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menangani deepfake yang mampu menghasilkan video, imej dan suara palsu yang sukar dibezakan daripada yang asli bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang awam.

 

“Bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket jenayah siber, RUU Jenayah Siber 2026 turut menyediakan kuasa penyiasatan di bawah pemeliharaan data di bawah fasal 38, penzahiran data di bawah fasal 39, pengumpulan data trafik di bawah fasal 40 dan pemintasan komunikasi di bawah fasal 41.

 

“Kuasa ini penting kerana bukti digital boleh dipadam, diubah atau dipindahkan dalam tempoh yang singkat. Pelaksanaan kuasa tersebut tertakluk kepada mekanisme kawalan yang ditetapkan,” katanya.

 

Dari sudut perlindungan mangsa, beliau berkata, fasal 54 memberi kuasa kepada mahkamah mengeluarkan perintah bagi mencegah atau memberhentikan pelanggaran undang-undang atas permohonan Pendakwa Raya atau pegawai diberi kuasa sama ada suspek telah dipertuduh atau belum.

 

“Antara perintah yang boleh dikeluarkan termasuklah perintah pemberhentian, perintah restitusi kepada mangsa, perintah pematuhan serta perintah sekatan harta bagi mengelakkan aset seperti wang hasil penipuan dilesapkan,” katanya. –UTUSAN

The post Penjenayah siber luar negara boleh dikenakan tindakan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved