Pelaku puas ramai tonton aksi buli di media sosial

4 Oct 2026 • 9:13 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelaku puas ramai tonton aksi buli di media sosial

Budaya merakam aksi jenayah sebelum disebarkan di media sosial semakin membimbangkan apabila kes buli dan keganasan kini bukan sekadar dilakukan, malah dijadikan bahan tontonan.

Antaranya, kes pelajar dibelasah di Ampang Jaya dan buli kanak-kanak di Johor Bahru yang tular sehingga membawa kepada tindakan polis.

Mengapa pelaku sanggup merakam jenayah sendiri? Adakah populariti, tontonan dan sokongan netizen kini lebih kuat daripada rasa takut terhadap hukuman?

Wartawan KOSMO! AHAD, Mohd. Yunus Yakkub mendapatkan pandangan Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid  yang mempunyai pengalaman 24 tahun sebagai peguam dan 11 tahun dalam bidang kriminologi bagi mengupas fenomena tersebut.

KOSMO! AHAD: Mengapa pelaku sanggup merakam jenayah sendiri sedangkan rakaman itu boleh menjadi bukti untuk polis?
HAEZREENA BEGUM: Mereka mengejar pengiktirafan, mahu dikenali dan menunjukkan keberanian melakukan sesuatu secara terbuka. Ada yang sedar mereka mungkin ditangkap, tetapi rasa bangga kerana berjaya melakukan dan merakam aksi itu mengatasi ketakutan terhadap hukuman.

Bagi mereka, rakaman tersebut bukan sekadar bukti, tetapi satu bentuk pencapaian. Mereka mahu orang melihat apa yang dilakukan dan mengakui keberanian mereka.

Ada juga yang mahu membina identiti sebagai individu ganas, berani atau tidak takut kepada sesiapa. Semakin ekstrem perbuatan, semakin kuat imej yang cuba dibina.

Apabila rakaman mendapat tontonan, komen dan perkongsian, perhatian tersebut menjadi satu bentuk ganjaran. Walaupun dikecam, pelaku tetap mendapat apa dicari iaitu perhatian.

Adakah mereka mahu menjadi terkenal melalui jenayah atau sebenarnya ada komuniti yang menyuburkan keberanian itu?
Memang ada. Sesetengah individu mengejar populariti berdasarkan apa yang mereka dedahkan, malah menganggap pelaku jenayah sebagai idola seperti Jeffrey Dahmer, salah seorang pembunuh bersiri terkenal di Amerika Syarikat.

Ada yang mahu meninggalkan legasi atau nama supaya dikenang lama. Bagi mereka, menjadi terkenal walaupun atas sebab yang salah tetap dianggap satu pencapaian.

Dalam jenayah seksual pula, wujud rangkaian tertentu termasuk komuniti dalam talian dan dark web yang boleh memberikan sokongan atau dorongan.

Bukan semua ahli komuniti itu menjadi penjenayah, tetapi kelompok tersebut boleh menjadi ruang mendapatkan pengiktirafan.

Apabila seseorang sentiasa berada dalam persekitaran memuji atau membenarkan tingkah laku itu, dia semakin yakin apa yang dilakukan tidak salah.

Lama-kelamaan, perkara yang sepatutnya dianggap keji boleh menjadi sesuatu yang dibanggakan.

Rakaman buli kini seolah-olah reality show. Adakah tek­nologi menjadikan pelaku le­bih berani?
Saya tidak mahu kata teknologi semata-mata menyebabkan ke­adaan semakin teruk, tetapi memang penggunaannya membuka ruang lebih besar.

Sekarang hampir semua orang mempunyai kamera dan telefon pula boleh digunakan untuk membuat sia­ran langsung.

Sesetengah pelaku melihat keganasan seperti satu persembahan. Mereka bukan sahaja mahu membuli, tetapi mahu memastikan aksi itu dirakam dan mempunyai penonton.

Apabila ada yang menonton secara langsung, memberi komen dan menunggu apa berlaku seterusnya, pelaku mendapat respons serta-merta.

Mereka boleh rasa seperti sedang menghiburkan orang.

Akhirnya, mangsa dilihat sebagai bahan tontonan. Ini sa­ngat berbahaya kerana pende­ritaan seseorang ditukar menjadi content boleh dikongsi.

Image from: Pelaku puas ramai tonton aksi buli di media sosial
TANGKAP layar video seorang pelajar tingkatan tiga dipukul beramai-ramai sambil ditonton lebih 10 orang di trek Motocross Taman Melawati, Ampang pada Mei 2023.

Adakah rakaman jenayah juga boleh menjadi komoditi untuk mendapatkan wang?

Boleh. Ada pihak sanggup membayar untuk mendapatkan kandungan tertentu. Sindiket jenayah yang dulu bergantung kepada operasi fizikal, kini boleh menggunakan kandungan dalam talian untuk mendapatkan pe­langgan dari seluruh dunia.

Apabila seseorang tahu kan­dungan itu boleh menghasilkan pendapatan, dia mungkin terdorong menghasilkan lebih ba­nyak bahan. Dalam keadaan itu, semakin ekstrem aksi dilakukan, semakin tinggi perhatian mungkin diperoleh.

Jadi, kita sudah sampai kepada keadaan apabila jenayah bukan sahaja memberikan kepuasan kepada pelaku, malah boleh menjadi sumber pendapatan. Itu menjadikan usaha untuk menghentikannya lebih mencabar.

Adakah viral kini menjadi ‘ganjaran’ yang lebih kuat daripada rasa takut terhadap hukuman?
Kadang-kadang ya. Viral memberikan ganjaran segera, se­dangkan hukuman undang-undang dilihat sebagai sesuatu yang akan berlaku kemudian.

Jumlah tontonan, komen dan perkongsian memberikan pelaku rasa mereka mendapat sokongan. Walaupun banyak komen mengecam, perhatian itu sendiri boleh membuatkan mereka riak dan bangga walaupun apa mereka lakukan itu kejam atau me­nyalahi undang-undang

Kita pernah melihat pelaku jenayah menganggap diri mereka seperti hero walaupun perbuatannya kejam. Apabila ada yang menyambut atau menyokong mereka, rasa bersalah semakin hilang.

Manusia secara semula jadi­nya mahu diterima. Jika penerimaan itu datang daripada kelompok yang salah, ia tetap boleh memberikan kepuasan kepada pelaku.

Sebab itu kita perlu berhati-hati. Jangan sampai jenayah yang sepatutnya membawa rasa malu kepada pelaku bertukar menjadi pentas untuk mereka mendapatkan populariti.

Jadi, netizen sendiri boleh menjadi ‘bahan bakar’ kepada pelaku?
Ya, itu yang sangat membimbangkan. Perkara yang sepatutnya dikeji akhirnya dipuji. Ada pula yang cuba menggunakan agama atau alasan tertentu untuk membenarkan keganasan dan mengambil keadilan mengikut tangan sendiri.

Kalau pelaku mendapat perhatian, pengikut dan sokongan selepas melakukan jenayah, secara tidak langsung mereka menerima ganjaran sosial. Ini boleh menggalakkan mereka atau orang lain mengulangi perbuatan sama.

Ada yang tekan like bukan kerana suka. Mereka cuma mahu melihat kandungan tersebut. Adakah itu juga menyumbang kepada penyebaran?
Betul. Like tidak semesti­nya bermaksud seseorang menyokong. Ada yang menekannya kerana terkejut, marah atau mahu mengetahui apa yang berlaku.

Tetapi algoritma tidak memahami niat kita. Apabila sesuatu kandungan mendapat banyak interaksi, ia berpotensi mendapat capaian lebih luas.

Jadi, untuk kandungan berkaitan jenayah lebih baik laporkan kepada pihak berkuasa atau platform berkenaan daripada memberikan interaksi yang boleh membantu kandungan itu terus tersebar.

Ada pelaku sengaja tag polis dalam hantaran mereka. Adakah itu tanda mereka mencabar pihak berkuasa?
Ya. Ada yang sengaja menandakan polis atau pihak ber­kuasa kerana mahu mencabar mereka. Seolah-olah mereka ber­kata,: “Saya buat dan saya mahu ka­mu tengok.”

Ia menunjukkan perhatian diterima di media sosial boleh memberikan keberanian tambahan. Pelaku bukan sahaja tidak menyembunyikan jenayah, malah mahu pihak berkuasa melihatnya.

Sejauh mana media sosial boleh membentuk identiti seseorang menjadi lebih ganas, berani atau obses terhadap jenayah?
Sangat besar. Dahulu kawalan terhadap kandungan lebih mudah kerana ibu bapa boleh mengehadkan apa yang anak lihat. Sekarang kandungan berada dalam telefon dan boleh diakses pada bila-bila masa.

Seseorang boleh terdedah kepada kandungan ganas, seksual atau kebencian secara berulang sehingga perkara itu dinorma­lisasikan. Apabila sesuatu yang salah dilihat terlalu kerap, garis antara betul dan salah boleh menjadi semakin kabur.

Lebih membimbangkan, me­re­ka bukan sekadar menonton, tetapi boleh masuk ke dalam komuniti yang mempunyai pemikiran sama. Di situ, mereka mendapat komen, sokongan dan pengesahan daripada orang lain.

Jadi, identiti seseorang boleh dibentuk bukan sahaja oleh keluarga dan rakan, tetapi juga oleh orang yang tidak pernah mereka temui di dunia sebenar.

Apakah ciri pelaku yang gemar merakam kemudian menyebarkan aksi jenayah?
Mereka sudah menormalisasikan keganasan atau seksualiti sebagai cara mendapatkan perhatian dan populariti. Bagi mereka, perhatian itu satu bentuk ganjaran.

Sebab itu pendidikan seksual dan keselamatan digital penting di sekolah. Bukan untuk mengajar perkara tidak baik, tetapi menerangkan apa yang boleh dan tidak boleh termasuk bagaimana melindungi diri.

Kita juga perlu mengajar tentang penyantunan kanak-kanak dalam talian. Ramai masih ­menganggap bahaya hanya datang daripada orang tidak dikenali secara fizikal.

Hakikatnya, pelaku boleh ma­suk melalui ruang sembang, membina kepercayaan dan kemudian mengeksploitasi ­mangsa. Mereka boleh berada jauh dari negara kita, tetapi mampu mendekati kanak-kanak melalui skrin.

Kita tidak boleh menunggu hingga berlaku kes besar baru mahu bercakap mengenai perkara ini. Pendidikan perlu datang lebih awal kerana apabila sesuatu tingkah laku menjadi budaya, sukar untuk membetulkannya.

Bolehkah budaya merakam dan menyebarkan jenayah mencetuskan fenomena copycat?
Ya, tetapi bukan semua orang akan terpengaruh. Dalam kriminologi terdapat Teori Pembelajaran Sosial Bandura yang menunjukkan seseorang boleh meniru tingkah laku apabila melihatnya sebagai sesuatu yang cool atau memberikan ganjaran.

Kalau seseorang melihat pe­laku mendapat populariti, soko­ngan atau wang selepas melakukan keganasan, dia mungkin fikir, ‘Kalau aku buat, aku pun boleh dapat perhatian.’

Ini yang sangat berbahaya ke­rana jenayah boleh menjadi satu bentuk persembahan ditiru. Le­bih banyak ia dipaparkan, lebih ramai berpeluang melihat dan mempelajarinya.

Pengaruh rakan sebaya masih penting, tetapi pengaruh dalam talian semakin besar kerana ca­paian tidak mempunyai sempadan. Seseorang boleh terdedah kepada kandungan sama berulang kali sehingga ia menjadi sebahagian daripada cara fikirnya.

Sebab itu kita perlu mendidik kanak-kanak tentang keselamatan digital, termasuk kandungan yang perlu dielakkan, tempoh penggunaan skrin dan cara me­ngenal pasti perkara berbahaya.

Kita tidak boleh hanya me­nunggu sesuatu perkara menjadi kes besar sebelum bertindak. Bila jenayah sudah dianggap cool sudah ada pengikut dan sudah menjadi kandungan yang ditunggu-tunggu, kita sebenarnya sudah terlambat.

The post Pelaku puas ramai tonton aksi buli di media sosial appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved