
Project Stargate merupakan sebuah projek pembangunan rangkaian pusat data AI di seluruh Amerika Syarikat yang dikepalai oleh OpenAI dan Oracle untuk membangunkan kapasiti kuasa pemprosesan AI yang terbesar di dunia.
Salah satu pusat data tersebut ialah kampus pusat data mercu mereka yang terletak di Abilene, Texas. Pusat data tersebut sudahpun dibangunkan, tetapi untuk menjadi sebuah pusat data kelas mercu, kapasiti hos mesin pelayan perlu ditingkatkan, dan oleh kerana itu, satu pelan telah dirancang untuk membesarkan kapasiti tersebut di antara OpenAI, Oracle dan Crusoe, sebuah syarikat pengendali pusat data dan bekalan tenaga berkapasiti tinggi.
Sebelum ini, ia telah dipersetujui bahawa kapasiti penggunaan tenaga kampus Abilene tersebut akan ditingkatkan dari 1.2GW sehingga 2.0GW dan sebanyak 1 ribu ekar tanah akan dibangunkan untuk merumahkan mesin-mesin pelayan AI yan berkuasa.

Akan tetapi, perbincangan di antara ketiga-tiga pihak berkenaan pembangunan kampus pusat data tersebut nampaknya telah terbengkalai kerana isu kewangan dan pembayaran, dan juga OpenAI yang selalu menukar keperluan kapasiti dari semasa ke semasa.
Oleh kerana ini, walaupun pembangunan kampus pusat data AI tersebut masih lagi diteruskan, ruang kapasitinya tidak akan dimanfaatkan oleh OpenAI dan Oracle untuk tujuan Project Stargate. Terdapat laporan yang mengatakan bahawa sebahagian besar daripadanya akan diambil-alih oleh Meta.
Walaupun pembangunan dan pengambilalihan kampus Abilene ini dibatalkan, keseluruhan Project Stargate dilaporkan masih akan diteruskan, dengan Oracle akan membangunkan kapasiti pemprosesan AI sebanyak 4.5GW di seluruh Amerika Syarikat.
Adakah ini permulaan pecahnya buih AI yang membelenggu bukan sahaja sektor perkomputeran pengguna, tetapi juga industri-industri lain yang bergantung kepada komponen-komponen cip semikonduktor seperti memori dan storan untuk membangunkan produk-produk mereka? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

