Microsoft menangguh lagi pelancaran ciri Windows Recall untuk Copilot+ PC. Menurut perancangan yang diumumkan pada Ogos lalu, Recall akan diberikan kepada pengguna Windows Insider pada bulan Oktober tetapi ini tidak berlalu. Menurut laporan The Verge, Recall hanya akan diberikan kepada Insider pada bulan Disember depan selepas ciri ini diperhalusi lagi bagi memastikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Ciri Windows Recall sepatutnya dilancarkan kepada semua Copilot+ PC pada Jun lalu tetapi ditangguh kerana menerima pelbagai kritikan mengenai privasi serta kerentanan sekuriti yang ditemukan oleh penganalisa sekuriti. Kecerdasan buatan (AI) Recall boleh mengingati setiap gambar, tangkapan layar dan juga aktiviti yang dilakukan pengguna.
Microsoft segera mengumumkan perubahan Recall akan menggunakan sistem Trusted Platform Module (TPM) dengan sokongan biometri Windows Hello untuk pengesahan identiti pengguna. Pemilik Copilot+ PC juga diberikan pilihan menyahpasang ciri ini pada komputer mereka sekiranya masih risau mengenai keselamatan.



