
SEMPORNA: Sepasang pelancong warga China mendakwa mereka hampir menjadi mangsa penipuan ketika membeli udang kara semasa berkunjung ke Semporna, baru-baru ini.
Kejadian itu dirakam dalam sebuah video yang dimuat naik dan dikongsi oleh pasangan berkenaan di media sosial, sehingga tular dan menarik perhatian orang ramai.
Dalam video pengguna TikTok bernama FanTeXi, pelancong wanita berkenaan menjelaskan bahawa dia telah berunding dan membeli udang kara tersebut dengan harga RM250.
Namun, ketika pelancong itu menyerahkan wang berkenaan, seorang penjual mempersoal ketulenan wang tersebut, walaupun ia jelas dikeluarkan daripada mesin ATM di lapangan terbang.
Menurut pelancong itu lagi, isu berkenaan akhirnya diselesaikan selepas penjelasan dibuat. Namun, mereka kemudian menyedari bahawa udang kara yang diberikan lebih kecil berbanding yang asalnya dipilih.
Pasangan tersebut berkata, mereka akhirnya mengambil semula wang mereka dan menasihatkan pelancong lain agar lebih berhati-hati ketika membeli makanan laut di pasaran tempatan.
Setakat ini, pihak berkuasa tempatan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden itu. Bagaimanapun, video tersebut mencetuskan perbincangan meluas di media sosial dengan netizen menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara itu.



