
SEMPORNA: Seorang pelancong wanita warga China berusia 66 tahun lemas ketika bersnorkel di perairan Pulau Pom Pom, di sini, Ahad.
Ketua Polis Daerah Semporna Supt Tan Hiap Wah berkata mangsa dari Yunnan itu pergi bersnorkel bersama anggota keluarganya.
Pada kira-kira 12.30 tengah hari, mangsa dilaporkan mengadu kurang sihat dan meminta dibawa kembali ke bot.
“Setibanya di atas bot, mangsa tidak sedarkan diri. Bantuan pernafasan (CPR) diberikan namun mangsa tidak memberi tindak balas dan dibawa ke Hospital Semporna, sebelum doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya, menambah mangsa mempunyai sejarah asma kira-kira 10 tahun lalu.
Polis sedang menjalankan siasatan dan meminta mereka yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungiPegawai Penyiasat ASP Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 bagi membantu siasatan.





