
MANILA – Pihak berkuasa menangkap lebih 200 pekerja asing dengan sebahagian besar mereka warga China dalam operasi pembanterasan terbesar terhadap pengendali perjudian dalam talian haram di Filipina pada tahun ini, kata biro imigresen.
Manila mengharamkan perjudian dalam talian Filipina yang dikenali sebagai POGO pada 2024 kerana kumpulan penjenayah menggunakannya sebagai topeng untuk aktiviti pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan dan pembunuhan.
Tentera dan agensi penguatkuasa undang-undang lain menyerbu dua premis di Pulau Mindanao, selatan Filipina pada Jumaat lalu.
Mereka menahan 110 warga China, dua warga Kemboja dan seorang penduduk Hong Kong di sebuah lokasi, demikian menurut biro imigresen kelmarin.
Seramai 131 warga asing lain ditangkap di lokasi kedua. Sebahagian besar suspek ialah warga China diikuti rakyat asing dari Malaysia, Indonesia dan Myanmar.
Selain tangkapan, pihak berkuasa merampas ‘sejumlah besar’ peralatan komputer, telefon bimbit, komputer dan kad SIM.
Manila kini menyiasat kemungkinan jenayah berkaitan pemerdagangan manusia dilakukan oleh beberapa suspek, manakala selebihnya akan diusir.
“Kami akan terus menguatkuasakan undang-undang imigresen terhadap warga asing yang melanggar syarat tinggal dan memastikan Filipina tidak digunakan sebagai pangkalan untuk aktiviti haram,” kata ketua imigresen Joel Viado dalam kenyataan itu.
Beliau menyifatkan serbuan kali ini sebagai ‘tangkapan POGO terbesar pada tahun 2026’. – AFP
The post 244 ‘scammer’ kena cekup termasuk rakyat Malaysia appeared first on Kosmo Online.






