
Oleh Suhaila Shahrul Annuar
SUBANG JAYA, 12 JULAI: Jumlah pelancong dari Jepun ke Selangor meningkat kepada 132,526 pelawat tahun lalu, menjadikannya antara penyumbang utama pelancong asing ke negeri ini.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata angka itu menunjukkan peningkatan 20.5 peratus berbanding 110,018 pelawat pada 2023.

“Kami percaya dengan jalinan hubungan dua hala yang terus kukuh antara Selangor dan Jepun, trend peningkatan ini akan terus berkembang pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Festival Bon Odori 2025 edisi ke-49 di Sunway City, yang turut dihadiri Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki.

Menurut Suee Lim, Selangor giat mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan melalui penyertaan dalam ekspo antarabangsa termasuk di Jepun.
“Saya yakin dengan pelbagai promosi dan program, sasaran mencapai lapan juta pelancong ke Selangor dengan resit perbelanjaan RM11.4 bilion akan dapat dicapai,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut hadir memeriahkan festival musim panas Jepun itu yang berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.

Berlangsung selama dua hari di parkir terbuka Sunway City, acara bermula jam 4 petang hingga 11 malam. Orang ramai mula beratur seawal 3 petang, rata-rata mengenakan pakaian tradisional Jepun seperti kimono, yukata dan hakama.
Festival itu turut menampilkan lebih 100 gerai menjual makanan Jepun seperti sushi, mi ramen, daging panggang dan gyoza, selain barangan kraf tangan dan cenderamata unik yang menjadi tarikan utama pengunjung.


The post Pelancong Jepun ke Selangor meningkat, hubungan dua hala terus kukuh appeared first on Selangorkini.


