Pelancong Malaysia ke Hatyai kekal rancak, kunjungan tiga wilayah bergolak susut - Tahta

1 Sep 2026 • 4:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelancong Malaysia ke Hatyai kekal rancak, kunjungan tiga wilayah bergolak susut - Tahta
Pergolakan di tiga wilayah selatan Thailand ketika ini tidak menjejaskan kemasukan pelancong Malaysia ke destinasi popular seperti Hatyai, Songkhla, Phatthalung, Krabi dan Satun. - Gambar hiasan

KOTA BHARU - Pergolakan di tiga wilayah selatan Thailand ketika ini tidak menjejaskan kemasukan pelancong Malaysia ke destinasi popular seperti Hatyai, Songkhla, Phatthalung, Krabi dan Satun.

Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (Tahta), Aida Oujeh berkata, kemasukan pelancong Malaysia ke Hatyai masih seperti biasa, malah dianggarkan antara 30,000 hingga 40,000 orang sepanjang tempoh cuti Hari Kebangsaan dan cuti sekolah ketika ini.

Menurut beliau, situasi berbeza berlaku di tiga wilayah iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat apabila jumlah pelancong berkurangan kira-kira 15 hingga 20 peratus, susulan kebimbangan terhadap perkembangan keselamatan di kawasan terbabit.

"Kalau sebelah tiga wilayah selatan Thailand memang berlaku penurunan kunjungan pelancong dari Malaysia.

"Tetapi di Hatyai, Songkhla, Phatthalung, Krabi dan Satun ia masih seperti biasa, malah rancak dan tidak ada pengurangan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Aida memberitahu, pembatalan perjalanan dari Kelantan ke tiga wilayah terbabit bukan berlaku secara menyeluruh, sebaliknya lebih kepada penangguhan perjalanan oleh pelancong yang mengambil langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun ujarnya, laluan masuk utama dari Malaysia seperti Danok, Padang Besar dan Satun, selain penerbangan masih beroperasi seperti biasa tanpa pembatalan besar-besaran.

"Dari Kelantan ada pembatalan dalam 15 hingga 20 peratus, tetapi lebih kepada penangguhan," katanya.

Dalam pada itu, Aida menegaskan rakyat Malaysia masih boleh melancong ke Thailand seperti biasa, namun dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga khususnya ketika bergerak di kawasan yang kurang dilalui orang.

Tambahnya lagi, pelancong disarankan menggunakan jalan raya utama dan mengelakkan laluan terpencil bagi memudahkan bantuan diperoleh sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Bukan kita takut apa, tetapi takut waktu berlaku itu tidak ada siapa yang tolong. Jadi guna jalan raya utama, jalan yang orang pergi dan balik.

"Kalau penduduk tempatan nasihatkan jangan masuk atau pergi ke sesuatu tempat, kita kena percayakan orang tempatan serta dengar nasihat mereka," katanya.

Beliau turut menggalakkan pelancong Malaysia menggunakan khidmat agensi pelancongan berdaftar ketika berkunjung ke kawasan yang berdepan isu keselamatan.

Menurut beliau, penggunaan agensi pelancongan memberikan kelebihan dari segi pandu arah, pemantauan keadaan semasa serta hubungan dengan penduduk tempatan dan pihak berkuasa Thailand.

"Agensi akan tahu kita nak membawa ke mana yang selamat dan tempat mana ada berita tidak baik.

"Kita juga boleh berkomunikasi dengan orang tempatan dan kerajaan Thailand. Selain itu, ada perlindungan insurans dan perjalanan melalui agensi pelancongan tertakluk kepada undang-undang," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved