Tak takut bom, pasangan Malaysia tetap nikah Siam

27 Aug 2026 • 11:13 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tak takut bom, pasangan Malaysia tetap nikah Siam

JITRA – Pasangan rakyat Malaysia yang merancang untuk bernikah di Thailand tetap meneruskan hasrat berkahwin di seberang meskipun tiga wilayah di Selatan Thailand digegarkan dengan siri letupan bom dan serangan sejak 22 Ogos lalu.

Sebuah agensi pengurusan pernikahan Thailand, memaklumkan tempahan bernikah di Songkhla untuk minggu ini sudah penuh membabitkan 14 pasa­ngan, manakala lebih 30 pasa­ngan telah membuat tempahan bagi bulan depan.

Pengurus Alfaiz Consultancy, Faiz Muhamad berkata, pihak­nya tidak melihat sebarang penurunan permintaan susulan insiden letupan di Wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat sejak 22 Ogos lalu itu.

“Songkhla dan Hatyai tidak terlibat dengan kejadian itu, jadi sambutan untuk nikah di sini masih sama seperti biasa. Untuk minggu ini, tempahan sudah penuh iaitu 14 pasangan, manakala bagi September setakat ini sudah lebih 30 pasangan membuat tempahan.

“Saya anggarkan lebih 20 peratus adalah daripada pasangan yang merancang bernikah di tiga wilayah tersebut dan terpaksa beralih ke Songkhla susulan insiden serangan berkenaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, jumlah pasangan yang mahu mendapatkan khidmat agensinya lazimnya melebihi 60 pasangan sebulan berikutan permintaan tinggi daripada rak­yat Malaysia.

“Namun begitu, saya mengehadkan maksimum 60 pasangan sebulan, manakala yang tidak mendapat tempat boleh menggunakan khidmat agensi lain yang masih ada kekosongan. Agensi lain juga banyak tempahan, tidak kurang 30 pasangan,” ujarnya.

Faiz berkata, majoriti pelanggannya terdiri daripada pasa­ngan dari Kuala Lumpur, Selangor dan Johor dengan kebanyakan mereka memilih pakej pernikahan yang turut merangkumi penginapan di Hatyai dan Songkhla.

Tambahnya, pihaknya percaya keadaan keselamatan di tiga wilayah yang terlibat tidak memberi kesan ketara terhadap pasangan yang memilih Songkhla kerana kedua-dua kawasan berkenaan tidak terlibat secara langsung dalam insiden itu.

Ejen pernikahan, Mohd. Zaidi Desa turut berkongsi situasi sama apabila tiada pasangan yang membatalkan atau menangguhkan pernikahan susulan kejadian bom dan serangan, malah pengantin dari utara Kedah baru sahaja bernikah di Majlis Agama Islam Satun pada Ahad lalu.

“Setakat ini tiada yang nak tangguh atau batalkan kerana Wilayah Satun dan Songkhla jauh dari tiga wilayah terlibat insiden bom dan serangan itu,” katanya.

Menurutnya, dia akan menguruskan dua lagi pasangan rakyat Malaysia yang mahu bernikah di Songkhla minggu ini dan mene­rima tempahan tiga lagi pasa­ngan bulan hadapan.

“Terdapat satu pasangan yang tidak dapat meneruskan akad nikah di Majlis Agama Islam Songkhla kerana faktor jarak dua marhalah dari alamat pengantin perempuan. Selepas itu mereka dicadangkan untuk bernikah di Pattani, namun susulan insiden bom di wilayah berkenaan, pasangan itu akhirnya dibawa ke Majlis Agama Islam Satun untuk disatukan,” ujarnya.

Katanya, kebanyakan pasangan yang menggunakan ­khidmatnya memilih Songkhla, berbanding tiga wilayah yang terjejas akibat serangan tersebut.

“Saya difahamkan banyak sekatan jalan raya dan kawalan keselamatan pihak berkuasa di tiga wilayah terjejas termasuk laluan keluar masuk ke Songkhla dan kawasan lain, sekali gus menyukarkan pergerakan,” jelasnya.

The post Tak takut bom, pasangan Malaysia tetap nikah Siam appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved