
SONGKHLA (THAILAND): Seorang lelaki warga Malaysia dipercayai ketua sindiket pemerdagangan manusia rentas sempadan, dicekup anggota Pusat Pembanterasan Imigresen Haram (CCIIM) Wilayah Songkhla selepas didakwa cuba merasuah pegawai imigresen bagi membebaskan tiga rakyat China yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Dalam kejadian di Pejabat Imigresen Songkhla, kelmarin, suspek berusia 31 tahun yang dikenali sebagai Mohammad ditahan bersama seorang wanita warga Vietnam, Nguyen Thi Thanh, 38.
Jurucakap Bahagian Imigresen 6, Kolonel Polis Charoenpong Khantiloh berkata, penahanan itu susulan tindakan sepasukan anggota CCIIM memintas sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Asia 2, Mukim Tha Chang, Daerah Bang Klam, kira-kira pukul 2.30 petang, hasil maklumat risikan.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat tiga warga China yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di dalam kenderaan tersebut.
“Pemandu rakyat Thailand dan rakannya masing-masing berusia 39 tahun dan 46 tahun kemudian ditahan.
“Kedua-duanya mengaku diupah oleh seorang broker untuk mengambil tiga warga China itu dan menghantar mereka ke sebuah hotel di Daerah Sadao dengan bayaran RM3,666,” katanya ketika dihubungi semalam.
Charoenpong berkata, siasatan awal mendapati tiga warga China yang dipercayai anggota sindiket penipuan itu mengaku memasuki Thailand dari Kemboja melalui wilayah Sa Kaeo sebelum merancang menyeberang masuk ke Malaysia secara haram.
Katanya, semua lima individu itu kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Wilayah Songkhla untuk siasatan lanjut dan proses merekodkan pertuduhan.
“Bagaimanapun, ketika pegawai polis sedang menyediakan laporan tangkapan, Mohammad dan Nguyen Thi tiba dalam keadaan mencurigakan. Mereka cuba berunding dengan menawarkan rasuah atau wang kopi kepada pegawai polis sebagai pertukaran untuk pembebasan tiga warga China itu.
“Kejadian tersebut dimaklumkan kepada Ketua Polis Imigresen Wilayah Songkhla, Lt. Kolonel Pongsiri Pitak. Polis kemudian berpura-pura melengah-lengahkan keadaan sebelum mengarahkan pasukan penyiasat memeriksa rekod komunikasi dalam telefon suspek,” ujarnya.
Menurut Charoenpong, hasil pemeriksaan itu menemukan bukti penting yang membawa kepada pengenalpastian lelaki warga Malaysia berkenaan sebagai salah seorang ketua sindiket pemerdagangan manusia transnasional.
Katanya, suspek dipercayai bertanggungjawab mengarah operasi sindiket, menentukan lokasi pengambilan dan penghantaran serta memudahkan warga China menyeberang masuk ke Malaysia secara haram.
Beliau berkata, warga Malaysia dan Vietnam itu bersama dua pemandu Thailand akan didakwa secara bersama atas kesalahan menyediakan tempat perlindungan, menyembunyikan atau membantu warga asing yang memasuki Thailand secara haram.
“Tiga warga China itu pula akan didakwa atas kesalahan memasuki dan menetap di Thailand tanpa kebenaran,” katanya. – UTUSAN
The post Rakyat Malaysia disyaki ketua sindiket ditahan di Songkhla appeared first on Utusan Malaysia.






