Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi pertama Indonesia, Whoosh, kini mencuri tumpuan apabila data menunjukkan bahawa pelancong Malaysia menjadi antara penyumbang utama kepada jumlah penumpang antarabangsa sejak perkhidmatan itu dilancarkan.
Dikendalikan oleh Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), Whoosh menghubungkan Jakarta ke Bandung dengan masa perjalanan hanya sekitar 45 minit, berbanding lebih dua jam jika melalui jalan darat.
Menurut laporan Vocket, sejak mula beroperasi secara rasmi pada tahun 2023, Whoosh menjadi simbol kemajuan infrastruktur negara jiran itu.Namun, di sebalik sambutan yang memberangsangkan, syarikat konsortium KCIC dilaporkan menanggung kerugian besar.
Berdasarkan laporan separuh pertama 2024, syarikat mencatatkan kerugian sebanyak Rp 3.53 trilion (AS$221.8 juta), manakala unjuran defisit untuk tahun pertama operasi pula dianggarkan mencecah Rp 3.15 trilion (AS$200 juta). Antara punca utama adalah kos pembinaan yang tinggi dan beban faedah hutang yang besar.
Yang mengejutkan, KCIC menyatakan lebih 200,000 penumpang antarabangsa yang menaiki Whoosh sejak pelancarannya datang dari Malaysia, menjadikan Malaysia sebagai sumber utama pengguna antarabangsa perkhidmatan itu. Malah, ada warga Indonesia secara sinis menyatakan Whoosh bakal ‘bankrap’ jika pelancong Malaysia berhenti menyokong.
Perkongsian ini mula tular selepas kenyataan rasmi KCIC disebarkan semula melalui laman Facebook ASEAN Culture & History. Ramai warganet turut berkongsi pengalaman menaiki Whoosh, menyifatkannya sebagai satu kemudahan yang efisien dan selesa dengan kelajuan mencecah 350km/j.
Bagi Malaysia pula, ini menjadi satu bentuk ‘pengaruh tidak rasmi’ di rantau Asia Tenggara, menunjukkan bagaimana sokongan pelancong tempatan dapat memberi impak besar terhadap ekonomi negara jiran.
Sama ada Whoosh mampu kekal bertahan dalam jangka panjang, masih bergantung kepada daya saing dan kemampuannya menarik lebih ramai penggunaan bukan hanya dari Malaysia, tetapi dari seluruh dunia.
The post Pelancong Malaysia ‘selamatkan’ kereta api laju Indonesia dari kerugian appeared first on The Reporter.



