Pelanggan mudah alih Maxis susut 2.8% kepada 9.59 juta walaupun hasil terus meningkat

LocalBusiness & Finance
6 Nov 2026 • 3:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelanggan mudah alih Maxis susut 2.8% kepada 9.59 juta walaupun hasil terus meningkat Image from: Pelanggan mudah alih Maxis susut 2.8% kepada 9.59 juta walaupun hasil terus meningkat sarah06/11/2026 - 15:05 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov - Maxis Berhad mencatatkan penurunan 2.8% dalam jumlah pelanggan mudah alih kepada 9.59 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026, susulan pelarasan garis panduan pendaftaran prabayar baharu, meskipun hasil perkhidmatan segmen berkenaan terus meningkat.

 

Menurut syarikat telekomunikasi itu, hasil perkhidmatan mudah alih pengguna meningkat 1.4% tahun ke tahun kepada RM1.59 bilion, disokong peningkatan hasil pascabayar walaupun jumlah keseluruhan pelanggan menyusut.

 

Maxis berkata, perubahan garis panduan pendaftaran prabayar itu dijangka membantu membentuk pangkalan pelanggan yang lebih sihat dan bernilai tinggi, dengan penekanan terhadap usaha mengekalkan pelanggan untuk jangka panjang serta menawarkan perkhidmatan mengikut keperluan mereka.

 

Langganan jalur lebar rumah meningkat

Bagi segmen kediaman pengguna, jumlah langganan meningkat 3.6% tahun ke tahun kepada 816,000, disokong permintaan kukuh terhadap tawaran perkhidmatan bersepadu Maxis.

 

Hasil perkhidmatan kediaman turut meningkat 0.8% kepada RM257 juta, manakala penggunaan rangkaian gentian optik yang dibangunkan sendiri membantu meningkatkan margin keuntungan segmen tersebut.

 

max

 

Permintaan AI dan pusat data sokong perniagaan perusahaan

Sementara itu, segmen perniagaan perusahaan merekodkan hasil perkhidmatan RM419 juta, meningkat 0.2% tahun ke tahun, dengan permintaan terhadap penyelesaian rangkaian korporat dan borong yang menyokong penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan pusat data menjadi antara pemacu utama.

 

Maxis turut memperkukuh keupayaan rangkaiannya melalui pelaksanaan teknologi pengangkutan optik Nokia bagi meningkatkan kesalinghubungan domestik dan merentas sempadan, selain memperluas penyelesaian Internet Benda (IoT), khususnya pemeteran pintar dan kenderaan terhubung.

 

Dalam pembangunan infrastruktur digital, Maxis dipilih Melaka ICT Holdings sebagai rakan infrastruktur strategik untuk menaik taraf menara telekomunikasi milik kerajaan negeri kepada rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi, selain bekerjasama dengan Tanah Makmur Berhad bagi mempercepat pembangunan bandar pintar KotaSAS di Pahang.

 

Keuntungan meningkat 8.5% kepada RM447 juta

Dari segi prestasi kewangan keseluruhan, Maxis mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM447 juta bagi suku ketiga 2026, meningkat 8.5% tahun ke tahun, manakala hasil perkhidmatan kumpulan berkembang 1.1% kepada RM2.27 bilion.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 3.6% kepada RM1.14 bilion, dengan aliran tunai bebas operasi sebanyak RM884 juta, sementara perbelanjaan modal berjumlah RM235 juta bagi peluasan gentian optik, pemodenan rangkaian dan peningkatan kapasiti.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, prestasi suku ketiga mencerminkan kekuatan model operasi dan strategi bersepadu syarikat, dengan penjanaan tunai yang sihat membolehkan lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4.5 sen sesaham.

 

Beliau turut menyambut baik peruntukan spektrum tambahan 2x10 MHz dalam jalur 2,600 MHz oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang bersama usaha pemodenan rangkaian serta inisiatif AI dijangka meningkatkan pengalaman pelanggan dan menyokong pertumbuhan mampan Maxis. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved