Hasil SkyeChip meningkat 9.1% kepada RM54.2 juta, untung RM17.7 juta ketika mula tembusi pasaran Jepun

TechnologyBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 6:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil SkyeChip meningkat 9.1% kepada RM54.2 juta, untung RM17.7 juta ketika mula tembusi pasaran Jepun Image from: Hasil SkyeChip meningkat 9.1% kepada RM54.2 juta, untung RM17.7 juta ketika mula tembusi pasaran Jepun sarah30/10/2026 - 18:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - SkyeChip Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 9.1% kepada RM54.2 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2027, diikuti kenaikan keuntungan bersih 27.2% kepada RM17.7 juta berbanding suku sebelumnya, ketika syarikat reka bentuk cip semikonduktor itu mula meraih hasil daripada pasaran Jepun buat kali pertama.

 

Bagi suku berakhir 30 September 2026, hasil syarikat itu meningkat daripada RM49.6 juta pada suku terdahulu, sementara keuntungan bersih bertambah daripada RM13.9 juta. Margin keuntungan kasar turut meningkat daripada 42% kepada 46.9%.

 

Menurut kenyataan, hasil segmen harta intelek silikon (Silicon IP) melonjak 30.3% kepada RM34.2 juta, menyumbang kira-kira 63% daripada keseluruhan hasil kumpulan, dipacu projek pelesenan baharu. Bagaimanapun, hasil segmen produk silikon berkurangan kepada RM19.5 juta daripada RM23.3 juta berikutan perbezaan masa pencapaian projek dan pengiktirafan hasil.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip, Datuk Fong Swee Kiang berkata, pertumbuhan suku kedua dipacu perniagaan Silicon IP ketika kumpulan terus memperluas kehadiran dalam pasaran utama dan meningkatkan pelaburan penyelidikan serta pembangunan (R&D).

 

“Dengan tunai dan pelaburan sebanyak RM430.2 juta serta tanpa pinjaman bank, kami berada dalam kedudukan kukuh untuk membiayai pembangunan harta intelek generasi baharu dan produk silikon,” katanya.

 

Bagi separuh pertama FY2027, SkyeChip merekodkan hasil RM103.8 juta dan keuntungan bersih RM31.6 juta, masing-masing bersamaan 67% dan 65% daripada pencapaian sepanjang FY2026. Keuntungan bersih teras bagi tempoh itu pula berjumlah RM35 juta selepas mengecualikan perbelanjaan sekali sahaja berkaitan tawaran awam permulaan (IPO).

 

Dari segi pasaran, Amerika Utara menyumbang RM46.9 juta atau 45.2% daripada hasil enam bulan pertama, diikuti China sebanyak RM41.8 juta (40.3%) dan Asia Timur Laut RM14 juta (13.5%), termasuk sumbangan hasil pertama dari Jepun.

 

SkyeChip turut mengukuhkan kehadirannya di Jepun menerusi penyertaan dalam ekosistem Rapidus CORE bagi melayakkan teknologi Silicon IP untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi menggunakan proses pembuatan cip 2 nanometer (nm), selain kerjasama dengan SAIMEMORY Corp. bagi pembangunan penyelesaian memori generasi baharu.

 

Setakat 30 September 2026, kumpulan memiliki tunai dan pelaburan berjumlah RM430.2 juta tanpa pinjaman bank, manakala aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi bagi enam bulan pertama mencatatkan RM7.7 juta.

 

Sebagai latar belakang, SkyeChip disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 20 Mei 2026 menerusi IPO yang mengumpulkan hasil kasar RM352 juta. Syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu mengkhusus dalam reka bentuk cip bersepadu, Silicon IP dan produk semikonduktor untuk aplikasi termasuk AI serta pengkomputeran berprestasi tinggi.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved