SHAH ALAM - Pelantikan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) perlu dilihat secara berasingan antara aspek kesahan undang-undang dan persepsi awam.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pelantikan tersebut dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan tidak terikat kepada jawatan beliau sebagai pemimpin nombor satu agensi antirasuah ketika itu.
"MCW berpandangan bahawa dalam menilai isu ini, dua perkara perlu dipisahkan secara jelas iaitu aspek kesahan pelantikan dari sudut undang-undang dan aspek persepsi serta keyakinan awam terhadap institusi integriti negara.
"Berdasarkan penjelasan NFCC, pelantikan Tan Sri Azam Baki dibuat atas kapasiti individu bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027 dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan tidak terikat kepada jawatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu.
"Oleh itu, dari sudut perundangan, kedudukan beliau perlu dilihat berdasarkan peruntukan Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 (Akta 822)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini dilapor mempersoal justifikasi pelantikan Azam sebagai penasihat pusat berkenaan memandangkan beliau terpalit dengan beberapa isu termasuk skandal berkaitan korporat mafia dan pemilikan saham.
Selain Hamzah, Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan turut meminta kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan bahawa Azam sudah dilantik sebagai penasihat di NFCC.
Susulan itu, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil melalui kenyataan media tampil menjelaskan lantikan Azam sebagai anggota Lembaga Penasihat bagi tempoh 20 September 2024 hingga 19 September 2027 dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas lanjut, Jais turut menegaskan bahawa prinsip keadilan perlu dihormati dan sebarang dakwaan atau persepsi terhadap mana-mana individu tidak wajar dijadikan hukuman awam tanpa melalui proses undang-undang yang sewajarnya.
"Sebarang persepsi, dakwaan atau kontroversi terhadap mana-mana individu tidak sewajarnya dijadikan hukuman awam tanpa melalui proses sewajarnya dan keputusan institusi berautoriti," katanya.
Beliau menambah, MCW turut menyeru agar mekanisme pelantikan ke badan berkaitan integriti diperkukuhkan melalui kriteria lebih jelas, proses tapisan yang telus serta komunikasi awam berkesan bagi mengelakkan keraguan masyarakat.
"MCW juga menyeru semua pihak supaya menghormati kedaulatan undang-undang, mempertahankan prinsip integriti institusi dan memastikan sebarang perbahasan dibuat secara profesional demi kepentingan negara," katanya.





