Saya bukan dilantik semalam! : Azam Baki

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 1:42 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Saya bukan dilantik semalam! : Azam Baki

Image from: Saya bukan dilantik semalam! : Azam Baki

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menjelaskan pelantikannya ke Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bukanlah satu ganjaran selepas bersara atau pelan persaraan selepas menerajui SPRM.

Sebaliknya, kata Azam, beliau telah berkhidmat sebagai anggota Lembaga Penasihat NFCC sejak 2021.

"Saya bukan dilantik semalam!

"Pelantikan saya adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri," katanya kepada Scoop.

Azam memberitahu, kali pertama beliau dilantik pada 2020 untuk berkhidmat bagi tempoh Mac 2021 hingga Mac 2024 ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

"Tempoh pelantikan saya kemudian disambung di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dari September 2024 hingga September 2027," jelas Azam.

"Saya menasihatkan mereka yang mempersoalkan pelantikan saya supaya mendapatkan penjelasan daripada saya atau NFCC.

"Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga mempunyai semua butiran mengenai pelantikan saya," katanya sambil menambah bahawa pelantikan itu dibuat selaras dengan Seksyen 5 Akta NFCC 2019.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, antara yang mempersoalkan pelantikan Azam ke Lembaga Penasihat berikutan tular gambar beliau menghadiri mesyuarat di NFCC pada 30 Jun lalu.

"Selain jawatan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, pelantikan ke Lembaga Penasihat juga dibuat berdasarkan pengalaman luas saya dalam bidang penyiasatan serta penguatkuasaan berkaitan rasuah serta jenayah kewangan di dalam negara dan merentas sempadan," katanya.

Azam, 63, bersara sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 12 Mei lalu selepas menerima tiga kali lanjutan kontrak.

Beliau dilantik menerajui badan antirasuah itu pada 9 Mac 2020 ketika pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, dalam satu kenyataan hari ini berkata Azam kini berkhidmat dalam kapasiti peribadi selepas melepaskan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Keanggotaan beliau dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat dengan jawatan terdahulunya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikannya, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya. - 3 Julai, 2026

The post Saya bukan dilantik semalam! : Azam Baki appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved