Pelantikan Azam Baki sah, tidak terikat jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM - Ketua Pengarah NFCC

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 11:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelantikan Azam Baki sah, tidak terikat jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM - Ketua Pengarah NFCC
Kenyataan dikeluarkan NFCC pada Jumaat.

SHAH ALAM - Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menegaskan Tan Sri Azam Baki merupakan anggota Lembaga Penasihat NFCC yang sah bagi tempoh tiga tahun, bermula dari 20 September 2024 hingga 19 September 2027.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, Ketua Pengarah NFCC menjelaskan, pelantikan tersebut dibuat atas kapasiti individu dan telah mendapat perkenan rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong.

Oleh yang demikian, keanggotaan beliau di dalam Lembaga Penasihat berkenaan adalah bersifat bebas dan tidak terikat kepada jawatan semasa beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut kenyataan daripada Ketua Pengarah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu, tempoh pelantikan tersebut akan terus kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh tiga tahun berkenaan, melainkan sekiranya ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas mengenai kehadiran beliau dalam mesyuarat baru-baru ini, Ketua Pengarah NFCC mengesahkan bahawa kehadiran Azam Baki dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah teratur dan sah di sisi undang-undang.

Kenyataan itu turut memperjelaskan bahawa kehadiran tersebut adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 (Akta 822) memandangkan beliau merupakan anggota Lembaga Penasihat NFCC yang sah.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan justifikasi kerajaan melantik bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebagai penasihat kepada NFCC.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa pelantikan itu menimbulkan persoalan memandangkan Azam sendiri pernah dikaitkan dengan beberapa isu yang kini sedang disiasat.

Sebelum itu, MCA menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan bahawa Azam telah dilantik sebagai penasihat di NFCC.

Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan berkata, laporan mengenai pelantikan itu menimbulkan kebimbangan serius, terutama ketika pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai masih menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan berkaitan “mafia korporat” serta kaitan yang didakwa melibatkan Azam.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved